07 January 2014

Petugas PAS usung rumah ahli Umno dihanyut banjir

5 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUANTAN: Bagi merealisasikan tema 'Rahmat Untuk Semua' berlainan anutan parti politik tidak menghalang PAS Kawasan Paya Besar melaksanakan kebajikan dengan bergotong-royong mengusung rumah hanyut akibat banjir besar yang bermula 3 Disember lalu.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Mohd Tarmizi Yahaya, dalam gotong-royong tersebut PAS kawasan bersama 120 orang daripada Unit Amal, ahli PAS cawangan dan penduduk kampung berjaya mengalihkan semula rumah milik seorang ahli Umno di Kampung Bukit Rangin di sini.

Katanya, rumah tersebut hanyut daripada tapak asal sejauh kira-kira 15 meter akibat banjir paling buruk yang melanda ibu negeri Pahang ini bulan lalu dan tersadai di tanah jiran sebelahnya.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) hanya dalam tempoh dua jam kami telah berjaya mengembalikan semula rumah hanyut itu ke tapak asal dengan kerjasama semua.

“Kami membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira parti, mana-mana pihak yang  memerlukan bantuan, kami sedia membantu sejak awal-awal banjir lagi,” katanya.

Menurut Tarmizi, daerah Kuantan dilanda bencana banjir paling buruk dalam sejarah sehingga hampir 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan  ke pusat pemindahan banjir.

Tambahnya, Kampung Bukit Rangin antara yang paling teruk terjejas kerana berada tidak jauh dari Sungai Kuantan.

Mohd Tarmizi berkata, sejak awal banjir atas inisiatif Unit Amal PAS Kawasan Paya Besar telah turun membantu seperti menyelamatkan nyawa dengan memindahkan mangsa, mengagihkan makanan kepada yang terputus hubungan hinggalah kepada banjir surut dengan bergotong-royong pula mencuci rumah mangsa dan memberi bantuan persekolahan.

“Ini ujian Allah kepada kita, tetapi dari sudut positif, kita dapat mengeratkan hubungan serta menjalin kerjasama antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah yang hanyut, Wan Badrol Shah, 25, berkata, kejadian banjir penghujung tahun lepas merupakan yang terburuk pernah berlaku di kampung tersebut yang menyebabkan kebanyakan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

“Akibat arus deras, rumah milik keluarga saya hanyut, dan kami masih bersyukur kerana ia tidak dihanyutkan jauh.

“Sekurang-kurangnya ada harapan untuk kami membaiki dan berjayanya ‘meletakkan’ rumah ini ke tapak asalnya,” katanya.
Harakahdaily/-

No comments: