08 Februari 2014

Dakwat kekal: Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah

8 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Mejar Zaidi Ahmad hari ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tentera di pangkalan TUDM, Sungai Besi, petang tadi.

Biarpun pihak peguambela mengemukakan bantahan awal terhadap tuduhan yang dikenakan, mahkamah menolak bantahan itu dan memutuskan untuk meneruskan perbicaraan tersebut.

Hakim kemudiannya menetapkan 8 hingga 10 April depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.

Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Semua pertuduhan berkenaan merujuk pada tarikh 1 Mei 2013 di dua lokasi berbeza iaitu perkarangan Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth.

Sementara itu, isteri beliau, Shafinah Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan sokongan penuh kepada suaminya dan menyifatkan tindakan mendedahkan isu dakwat kekal itu merupakan hak suaminya sebagai pengundi.

"Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan itu, tapi baginya itu adalah haknya untuk menyatakan pendiriannya sebagai pengundi," ujar beliau ringkas.

Beliau kemudiannya enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang perasaannya dan harapan beliau terhadap perbicaraan yang akan bermula April depan.

Turut hadir pada sebutan kes petang tadi ialah Ketua dan Naib Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dan Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Semalam, PAS menggesa TUDM membatalkan tindakan pendakwaan terhadap Mejar Zaidi dan menyifatkan pendakwaan ke atas Zaidi adalah satu tindakan yang tidak wajar, malah akan memalukan institusi tentera secara keseluruhannya memandangkan anggota itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.

"Kes ini adalah berkaitan hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ianya bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.

"Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri.

"Jadi kita mintak pihak tentera membatalkan, atau tarik balik pendakwaan kes tersebut," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar .
Harakahdaily.

Tiada ulasan: