Mesyuarat itu akan dihadiri semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Parlimen daripada PBB di ibu pejabatnya di Jalan Bako di Kuching.
Sesetengah pihak menjangka Abdul Taib akan mengumumkan persaraannya sebagai presiden parti dan ketua menteri dalam mesyuarat kali ini, manakala yang lain pula berpendapat ia hanya mesyuarat biasa memandangkan mesyuarat seperti itu tidak pernah diadakan sejak pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.
Kali terakhir mesyuarat serupa diadakan ialah sebelum berlangsungnya pilihan raya umum berkenaan apabila anggota Majlis Tertinggi diundang pada saat-saat akhir untuk menghadirinya pada waktu malam.
Keadaan itu memaksa petugas media menunggu hingga jauh malam, tetapi akhirnya mereka pulang tanpa membawa berita yang mereka jangka iaitu pengumuman Abdul Taib tentang persaraannya.
Bagi rakyat Sarawak, rancangan Abdul Taib untuk bersara bukan lagi berita baharu kerana ia telah heboh diperkatakan menjelang berlangsungnya pilihan raya umum lepas setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan di Sibu bahawa ketua menteri itu akan bersara sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri.
Minggu ini, sebuah akhbar kebangsaan mencetuskan spekulasi serupa. Seperti biasa, banyak orang menganggapnya sebagai berita lapuk yang dikitar semula.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ialah pada hari berikutnya, tiada satu pun akhbar Sarawak menyiarkan berita susulan tentang perkara itu, kecuali akhbar kebangsaan.
Minggu ini, Abdul Taib tidak menghadiri dua majlis – majlis makan malam Lembaga Lindungan dan Pembangunan Tanah Sarawak dan majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Lama kepada penjawat awam negeri - walaupun beliau diundang sebagai tetamu kehormat.
Menteri Perancangan Sumber Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu masing-masing mewakili Abdul Taib pada majlis itu.
Perkara ini menjadi lebih menarik apabila media di sini semalam menerima nota kepada pengarang daripada Jabatan Penerangan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menghadiri taklimat tentang persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 10 Februari di Wisma Bapa Malaysia di Kuching.
Pilihan raya negeri ini hanya perlu diadakan pada 2015.
Apabila diminta mengulas perkara itu, para pemimpin PBB berkata mereka tidak mempunyai maklumat tentang agenda mesyuarat berkenaan.
Jabu meminta petugas media bersabar kerana beliau akan hanya mengetahui tentang agenda mesyuarat itu apabila ia diadakan.
Awang Tengah adalah antara pemimpin yang disebut-sebut akan mengambil alih jawatan Abdul Taib. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas perkara itu apabila Bernama memintanya berbuat demikian.
Tiga lagi nama disebut-sebut sebagai pemimpin yang mungkin mengambil alih tempat Abdul Taib. Mereka ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Menteri Tugas-tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem; timbalan presiden PBB dan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; dan, bekas menteri persekutuan Datuk Seri Effendi Norwawi.
Spekulasi juga tersebar luas bahawa Abdul Taib akan menggantikan Tun Mohammad Salahuddin Abang Barieng sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan