23 Februari 2014

Guru Berhimpun Bantah Sistem PBS

23 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
BANGI: Sekumpulan guru berhimpun bagi membantah sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana kebanyakan di antara mereka menyatakan rasa tidak takut dengan kesan yang bakal diterima selepas menyertai bantahan tersebut.


Dua ketua yang membantah sistem tersebut telah dihukum baru-baru ini kerana menyertai program yang dianjurkan Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM).

Ketua Jawatankuasa Kerja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari mendakwa dia telah menerima arahan untuk berpindah ke sebuah sekolah yang terletak 80km daripada tempatnya mengajar ketika ini.
Manakala seorang guru bahasa Inggeris, Razak Badri mendakwa dia telah dipecat menerusi satu surat yang dihantar kepadanya bertarikh 6 Februari lalu.
Ketiadaan saluran untuk menyuarakan suara mereka bagi membantah sistem yang dianggap kontroversi itu, seorang guru muncul pada Sabtu menyifatkan situasinya sebagai 'berada di penghujung jalan'.
Mohd Nor Izzat berkata, beliau sudah penat mencari jalan untuk mengadu mengenai sistem PBS sebelum memutuskan untuk bersemuka dengan Kementerian Pendidikan secara terbuka.
"Bukan kita tidak cuba untuk bertemu dengan kementerian, aduan telah difailkan menerusi sistem aplikasi PBS secara online dan kami telah bertemu dengan (Menteri Pendidikan II) Datuk Seri Idris Jusoh tetapi mereka enggan mendengar keluhan kami," katanya.
Pada Jumaat, Mohd Nor Izzat, seorang guru Seni dari Pahang, menerima notis perpindahan berkuatkuasa serta-merta.
"Kami telah menunggu selama tiga tahun sejak PBS pertama kali dilaksanakan. Namun (masalah lain) sistem aplikasi PBS secara online masih beroperasi pada kelajuan yang amat perlahan," katanya.
Sistem PBS diperkenalkan di sekolah rendah bermula dengan murid-murid Tahun Satu pada 2011 dan di peringkat menengah dengan pelajar Tingkatan Satu pada 2012.
Beliau berkata walaupun guru mengeluh kerana terpaksa menyediakan banyak data 'bukti' hasil pembelajaran pelajar mereka selain memasukkan ke dalam sistem PBS, kementerian hanya berjanji akan mengurangkan bilangan data bukti yang dikehendaki.
"NUTP tidak melakukan apa-apa untuk memperjuangkan guru-guru yang dibebani sistem PBS. Bagaimana mereka mendakwa bahawa kami adalah kumpulan yang tidak diiktiraf apabila kami telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat dengan kementerian pada tahun lepas," katanya.
Bantahan itu berakhir dengan resolusi untuk mendesak pemansuhan sistem PBS dengan menggariskan lima perkara utama dalam memorandum tersebut yang digelar sebagai 'Deklarasi Bangi' yang ingin diserahkan kepada kementerian dan Parlimen.
mStar

Tiada ulasan: