2 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Ibu tunggal yang 85 peratus melecur akibat dibakar hidup-hidup oleh bekas teman lelakinya di Desa Rejang, Setapak, Januari lalu, selamat dikebumikan di ibu negara hari ini.
Suryana Saidin, 34, kakak kepada mangsa ketika dihubungi Bernama berkata Saliza, 29, yang meninggal dunia 5.15 petang semalam dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Batu Muda, Batu Caves, tengah hari tadi.
Beliau berkata adiknya sebelum itu dirawat 12 hari di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan jenazahnya telah dimandi dan disembahyangkan di HKL sebelum dikebumikan.
Sementara itu, anak bongsu perempuan mangsa, yang berusia setahun lima bulan, yang turut melecur di bahagian muka dan tangan ketika kejadian itu, sudah sihat, bagaimanapun masih belum dibenarkan keluar dari hospital, katanya.
"Kami sudah berbincang; selepas anaknya keluar dari hospital, kakak sulung saya akan menjaga ketiga-tiga anak itu berusia satu hingga lima tahun di rumahnya di Nilai, Seremban," katanya.
Suryana, suri rumah sepenuh masa berkata, sebelum kejadian pernah berbual seperti biasa dengan adiknya itu, anak ketiga dalam keluarga, menerusi laman sosial Facebook.
Sementara itu, dalam Facebooknya, kakak sulung mangsa, Suryane, 35, berkata: "Demi Allah..aku bknlah KAKAK yg terbaik utkmu dik..tp aku akn sedaya upaya menjaga Zuriatmu sehingga akhir nyawaku..."
Dalam kejadian pada 1.30 pagi 21 Januari itu, bekas teman lelaki Saliza yang dikenali sebagai Mohd Hafizi Abdul Rahman, dikatakan datang ke rumahnya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR), sebelum mereka berdua bertengkar.
Pertengkaran itu berakhir dengan suspek masuk ke bilik wanita itu lalu mencurah petrol serta menyalakan api.
Suspek selepas itu ditahan pada keesokan harinya di sebuah taman perumahan di Hutan Melintang, Perak kira-kira jam 3 pagi.
Pada Selasa lepas, suspek, seorang mekanik, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dan dua anak perempuan wanita itu dengan membakar mereka.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan