02 Februari 2014

Mukhriz tertekan hadapi pendedahan penyelewengan

2 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berada dalam keadaan sangat tertekan menghadapi pendedahan penyelewengan dan salah urus tadbir Kerajaan Negeri Kedah pimpinannya.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, tindakan Mukhriz melontarkan amaran terhadap perkara itu telah menimbulkan sangsi dan menzahirkan kelemahan Mukhriz dalam mendepani dakwaan berkaitan.

"Mukhriz tidak perlu bimbang sekiranya pentadbiran beliau bersih dari sebarang penyelewengan dan salah urus tadbir. Bukankah sifat berani itu benar dan takut itu salah?

"Sebagai pihak yang sedang memimpin sebuah kerajaan, beliau sepatutnya mempunyai kekuatan menjelas dan menerangkan hal sebenar.

"Bukan melontarkan amaran dan ugutan kerana sikap itu dilihat tidak matang dan kebudak-budakan," bidas Nasir.

Ujarnya, ugutan itu juga menunjukkan sifat tidak profesional dan telus Mukhriz kerana boleh dianggap melindungi penyelewengan atau salah urus tadbir jika benar dakwaannya itu wujud.

Tegas Nasir, Pemuda PAS Kedah tidak akan berkompromi dan sekali-kali bimbang dengan ugutan itu, sebaliknya akan terus mendedahkan segala bentuk salah urus tadbir dan penyelewengan kerajaan.

"Ini bukanlah serangan politik, tetapi menyatakan hak rakyat yang telah dilakukan secara tidak sepatutnya.

"Tugas parti politik dan NGO adalah sebagai 'check and balance' kerana kerajaan adalah milik rakyat. Kami bertanggung jawab memastikan rakyat mendapat maklumat sebenar mengenai urus tadbir kerajaan.

" Pada ketika ini kami terus menjejak dan menyiasat segala maklumat disalurkan kepada kami," maklum beliau.

Mukhriz dalam reaksinya kelmarin melontarkan amaran akan membuka fail lama di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah sebelum ini sekiranya beliau terus diserang dengan dakwaan-dakwaan penyelewengan.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: