03 February 2014

Penunjuk perasaan kacau pilihan raya

3 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Bangkok: Penunjuk perasaan antikerajaan menghalang proses pengundian di berpuluh-puluh kawasan pada pilihan raya Thailand yang berlangsung di dalam keadaan tegang semalam dibayangi dengan pertumpahan darah, boikot oleh pembangkang dan kebimbangan krisis politik berterusan.

Walaupun demonstrasi jalanan sejak berminggu-minggu bertujuan memaksa beliau meletak jawatan, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dijangka terus meluaskan kuasa keluarganya dengan memenangi undian semalam. 



Bagaimanapun, beberapa pihak meramalkan pilihan raya kontroversi itu tidak akan menamatkan keganasan politik yang melanda sejak abangnya Thaksin Shinawatra digulingkan sebagai perdana menteri oleh pihak tentera pada 2006. 

Ketegangan berterusan selepas satu pertempuran bersenjata di antara penunjuk perasaan di jalanan pada malam sebelum pilihan raya yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tujuh orang cedera.

Mahu Yingluck berundur

Pegawai berkata, undian tidak dapat diteruskan di 45 daripada 375 kawasan di seluruh negara disebabkan penunjuk perasaan mahu Yingluck berundur bagi memberi laluan kepada ‘majlis rakyat’ untuk memantau peralihan bertujuan menangani rasuah dan dakwaan pembelian undi.

Di kebanyakan kawasan di selatan, yang menjadi kubu kuat pergerakan anti kerajaan, penunjuk perasaan turut menghalang pegawai undian daripada mengedarkan kertas dan kotak undi, kata ketua setiausaha Suruhanjaya Pilihan raya, Puchon Nutrawong. 
Di Bangkok, sebanyak 437 daripada 6,673 pusat mengundi tidak dapat dibuka disebabkan halangan oleh penunjuk perasaan atau kurangnya kakitangan, mencetuskan kekecohan kecil antara bakal pengundi dan polis di sebuah daerah.

“Saya hanya mahu mengundi,” kata Praneet Tabtimtong, 57 sambil memegang batang kayu yang besar.

“Mereka menutupnya dan tidak membawa keluar kotak undi,” katanya lagi.

Undian tanpa gangguan

Bagaimanapun di bahagian tengah dan utara Thailand serta beberapa kawasan di ibu negara, undian bermula tanpa sebarang gangguan besar.

“Saya menjalankan tanggungjawab hari ini untuk mengundi kerana ia adalah hak saya,” kata Pui, 43, yang mengundi di sebuah pusat undian di daerah bersejarah di bandar raya itu yang menyaksikan polis mengawal pengundinya.

Yingluck adalah antara pengundi awal, keluar mengundi di hadapan media di ibu negara.

Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 130,000 polis dikerah di seluruh negara untuk pilihan raya itu tetapi dengan berpuluh ribu pusat undian mungkin tidak ramai ditempatkan di sesuatu tempat. 
AFP

No comments: