KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke ibu negara dilaporkan mula perlahan dan sesak tengah hari ini ketika orang ramai pulang susulan cuti sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Berhad ketika dihubungi Bernama berkata keadaan itu dijangka berterusan sehingga malam ini.
Menurutnya, kesesakan lalu lintas berlaku di laluan Port Dickson ke Hentian Rehat & Rawat (R&R) Seremban, sebelum Tol Juru menuju ke Tambun, Kuala Kangsar ke R&R Sungai Perak, dan dari Ipoh ke Simpang Pulai.
Lokasi lain ialah sebelum masuk Terowong Menora ke Ipoh, Gopeng ke Tapah, Bidor ke Slim River dan dari Rawang ke Rawang Selatan.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik sesak dan perlahan di Port Dickson menghala ke Nilai, dari Tol Juru ke Bukit Tambun dan sekitar Tol Gombak/Tol Bentong menghala ke ibu negara.
Selain itu, beliau berkata beberapa kemalangan yang berlaku di lebuh raya turut menyumbang kepada kesesakan trafik.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan talian LLM 1800-88-7752 atau melayari akaun Twitter Plustrafik atau LLM. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan