03 February 2014

Pegawai pengundian tak muncul, bimbang keselamatan

3 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

BANGKOK, - Pilihan raya berjalan lancar di kebanyakan wilayah di Thailand hari ini, sekalipun pemprotes anti-kerajaan menyekat kertas undi daripada sampai ke pusat-pusat mengundi.

Dalam sesetengah hal, pegawai pengundian dilaporkan tidak muncul kerana khuatirkan keselamatan diri mereka.

Pengundian diadakan di 89.2 peratus daripada 93,532 pusat mengundi di seluruh negara, dan tidak ada kejadian keganasan dilaporkan, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Supachai Phucharoen pada sidang akhbar tengah hari ini selepas pusat pengundian ditutup.

Beliau berkata proses pengundian dibatalkan di sembilan wilayah yang mempunyai 37 kawasan pilihan raya, dan di beberapa pusat pengundian di sembilan
wilayah yang lain.

Thailand mempunyai sejumlah 77 wilayah dan 48.77 juta pengundi. Masalah pengundian dikatakan tertumpu di Bangkok dan di bahagian selatan.
  
Thailand mempunyai 375 anggota parlimen yang dipilih berasaskan kawasan sementara 125 kerusi bagi senarai parti calon.

Dalam pada itu, jumlah mereka yang mengundi di seberang laut dilaporkan rendah dengan hanya 38,350 pengundi atau 27 peratus daripada sejumlah  143,807 pengundi berdaftar di 67 negara menjalankan hak mereka.

Sementara itu, Supachai mengesahkan keputusan pilihan raya tidak dapat diumumkan hari ini, kerana masalah pengundian awal pada 26 Jan, yang dijadual diadakan semula pada 23 Feb.  

Dalam perkembangan lain, media perdana dan media sosial sibuk menyiarkan berita mengenai Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra memasukkan kertas undinya di kotak undi yang salah.

Ditanya pemberita, beliau berkata beliau diarahkan oleh seorang pegawai pilihan raya memasukkan kertas undinya di kotak berkenaan.

Kumpulan pembangkang dengan pantas menghebahkan kesilapan itu.

Di SELATAN THAILAND, pilihan raya yang berlangsung di tiga wilayah selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat agak sunyi apabila tidak ramai keluar
mengundi berikutan gangguan penunjuk perasaan anti–kerajaan.  

Di Wilayah Pattani satu pusat pengundian ditutup apabila sekumpulan anti-kerajaan menutup pintu masuk pusat tersebut yang terletak di sebuah sekolah
di Mukim Tarea, Daerah Khokpo.

Di Yala, 570 pusat pengundian dibuka, manakala tujuh buah yang lain ditutup selepas penunjuk perasaan menutup pintu masuk perkarangan pusat mengundi.

Kekasaran hampir tercetus antara penyokong kerajaan yang mahu mengundi dan penentang kerajaan yang menghalang di Bandar Muang, Yala.

Manakala di Narathiwat empat pusat membuang undi ditutup selepas perkarangan pusat itu dikepung oleh penunjuk perasaan.
Kapt. Panya Sibmon ketua pegawai keselamatan berkata selagi penunjuk perasan tidak melakukan keganasan dan memusnahkan peti undi dan harta awam, pihak keselamatan menggunakan cara aman menangani mereka, iaitu dengan berunding.

Bagaimanapun, pada jam 4.35 petang berlaku letupan bom di pusat membuang undi di daerah Rusak.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. - Bernama

No comments: