KOTA BHARU: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendoakan kesejahteraan dirinya agar diberi kekuatan untuk bersama-sama seluruh pemimpin Pakatan Rakyat bagi menumbangkan Umno dan BN.
Permintaan itu dibuat ketika bertemu Tuan Guru Nik Aziz di Masjid Kampung Pulau Melaka, Sabtu lalu.
Anwar menyifatkan pertemuan itu memberikan inspirasi, kekuatan dan semangat kepadanya bagi menghadapi fitnah dan konspirasi politik yang dihadapinya sejak sekian lama.
"Saya memohon jasa baik Tuan Guru supaya mendoakan kesejahteraan saya bagi menghadapi situasi saya kini," ujar beliau.
Anwar yang hadir di Kota Bharu dalam menjayakan siri ceramahnya berkesempatan bertemu dengan Tuan Guru ketika menunaikan solat Subuh berjemaah.
Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir, Adun Gucil, Mohd Roslan Puteh, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR negeri, Muhammad Hisomuddin Bakar dan para pimpinan PKR negeri.
Anwar berkata, bayangan kuasa rejim BN yang hampir jatuh ekoran kebangkitan rakyat dan Pakatan Rakyat menjadi mimpi ngeri Umno dan BN.
Katanya, Pakatan Rakyat perlu dilihat kukuh dan mampu meyakinkan seluruh rakyat bahawa ia bersedia mengambil alih kerajaan ekoran kegagalan ketara kerajaan BN sekarang menangani isu-isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.
Sementara itu, Tuan Guru begitu terharu dengan kunjungan Anwar malah terkilan kerana tidak dapat turut berceramah bersama Ketua Pembangkang itu kerana keuzuran.
Dalam tazkirahnya Tuan Guru berkata, pihak musuh tidak akan senang dengan perjuangan Islam.
Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan kekentalan jiwa Anwar yang tabah menghadapi fitnah dilemparkan para pemimpin Melayu sendiri akibat takut hilang kuasa.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan