31 March 2014

Memali: PAS gesa siasat semula, tarik balik kertas putih 1986

29 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan menarik balik kertas putih berkenaan Peristiwa Memali yang telah dibentangkan di Parlimen pada tahun1986 serta menarik balik fatwa Bughah yang dikenakan kepada Ibrahim Libya dan para pengikutnya.

Merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Tun Musa Hitam, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Peristiwa Memali satu konspirasi tersembunyi yang sudah mempunyai skrip.


"Bagaimana Kertas Putih dibentangkan? Sedangkan ia meragukan tetapi perencanaan skrip seolah-olah susah ada.

"Saya minta kerajaan, Najib bawa usul tarik balik ke atas kertas putih 1986. Hanya kerajaan boleh tarik balik,"katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mahfuz turut mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah turut menarik balik fatwa ‘Bughah’ (penderhaka) terhadap Allahyarham Ibrahim Libya serta 14 pengikutnya.

Ini kerana katanya, fatwa itu adalah tidak tepat kerana tidak menyedari kejadian itu terhasil daripada konspirasi halus kerajaan menjadikan fatwa itu boleh dipersoalkan.

Katanya, penarikan balik dua perkara itu bertujuan menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang pada ketika itu ialah Sultan Kedah.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan berkata satu siasatan semula perlu diadakan bagi membersihkan nama baik mereka yang terlibat dalam tragedi berdarah itu.

"Jatuh hukum Bughah, tetapi sebenarnya mereka dizalim," katanya dalam sidang media bersama Mahfuz dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli.

Bagi Hatta, Musa mungkin tidak tertanggung dengan fakta Peristiwa Memali menyebabkan beliau sanggup mendedahkan apa yang berlaku di sebalik kejadian itu.

Hatta percaya peristiwa hampir 30 tahun lalu menunjukkan mangsa dianiaya dan paling mengecewakan apabila tidak ada kata maaf daripada kerajaan buat ahli keluarga mangsa.

Peristiwa Memali berlaku ketika pihak polis cuba untuk menahan Ibrahim Libya di bawah ISA kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Pihak polis membuat rempuhan dengan kereta perisai kerana Allahyarham enggan menyerah diri mengakibatkan 18 terbunuh termasuk empat anggota polis pada 19 November 1985.

Harakahdaily

No comments: