KEAKRABAN Malaysia-China bukan baru berputik, malah ia sudah bermula sejak berkurun lama. Bukan sekadar hubungan politik dan diplomatik, tetapi boleh dianggap sebagai bersaudara apabila hubungan ini sudah mencecah lebih 700 tahun, dan mungkin lebih lama lagi.
Menurut sebuah buku bertajuk Malaysian Historical oleh KG Tregonning dan The Encyclopedia Americana, mencatatkan bahawa ‘Duyuan’ atau Semenanjung Tanah Melayu merupakan tempat persinggahan terbaik bagi kapal-kapal perdagangan China.
Dengan deretan artifak seramik dari zaman Dinasti Qin tahun 221, kedatangan Zheng He atau Cheng Ho ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-15, Sultan Muzaffar Syah bersama keluarga dan rombongan pengiringnya juga telah melawat China pada zaman Dinasti Ming. Ini satu peristiwa besar yang tercatat dalam sejarah perhubungan kedua-dua negara ini.
Hari ini, hubungan antara Malaysia-China di era moden, terjalin dengan lebih kukuh bermula tahun 1974 sehingga kini. Perdana Menteri Malaysia dari awal memegang tampuk pemerintahan akan melawat China seperti Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.
Tun Dr Mahathir sendiri pernah melawat China sebanyak tujuh kali ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Kini, di era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, hubungan dua hala antara Malaysia dan China terus diperkukuhkan.
Malaysia merupakan antara 10 negara pelabur terbesar di China sejak tahun 2008.
China adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia. Kebanyakan import Malaysia adalah dari China.
Hubungan ekonomi kukuh
Dua tahun lalu, Malaysia melakar sejarah penting dalam hubungan dua hala dengan China apabila diberi kepercayaan untuk bekerjasama bagi merealisasikan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) China-Malaysia di Guangxi Nanning.
Tidak hanya itu, kedua-dua negara ini bersetuju membangunkan taman perindustrian seluas 606 hektar di Gebeng, Kuantan secara usahasama.
Pihak pengurusan bandar Shaoxing, China telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Melaka yang bertujuan untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi dan pertukaran teknologi.
Bukan hanya ekonomi, malah Malaysia-China menandatangani perjanjian bersama pemeliharaan dua ekor beruang panda yang dipinjamkan kerajaan China kepada Malaysia bagi tempoh 10 tahun. Ia adalah simbolik dalam menghargai perhubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama.
Rumah panda akan dibina di Zoo Negara. Pembinaan rumah panda yang bernilai RM20 juta akan dilengkapi pendingin hawa, buluh import dari China dan dijaga kakitangan yang khusus.
Pegawai kanan Zoo Negara berkata, pihaknya akan melakukan persiapan yang rapi untuk menyambut panda dari China. Penghantaran panda berkenaan hasil pertemuan kali ketiga perdana menteri kedua-dua negara.
Hubungan dua hala antara Malaysia-China terus diperkukuhkan apabila sebanyak 37 anggota Persatuan Industri Tekstil China (PITC) akan melabur RM500 juta di Terengganu untuk menjalankan perniagaan di Kompleks Tekstil di Bandar Baru Kijal, Kemaman, termasuk membina sebuah gudang tekstil di kawasan itu.
Perkara itu telah dipersetujui bersama kerajaan negeri setelah PITC melakukan kunjungan ke Bandar Baru Kijal, Jumaat lalu.
PITC akan menjadikan Bandar Baru Kijal sebagai hab tekstil yang terbesar di Asia Tenggara.
Begitu banyak jalinan kerjasama antara kedua-dua negara ini, namun, dengan tragedi yang menimpa pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, seolah-olah membakar semua jalinan kerjasama dan perpaduan dua negara.
Seluruh kesetiaan kedua-dua negara ini seakan lenyap dan kebanyakan rakyat China membangkitkan kemarahan dan kebencian terhadap Malaysia.
Dihamburkan dengan kata-kata kurang senang, media Malaysia yang membuat liputan di Beijing, China juga tidak mendapat layanan sebaiknya. Ironinya kisah kasih sayang sejak lampau diibaratkan sudah pupus hanya kerana tragedi tersebut.
Ada juga di kalangan ahli keluarga yang melakukan protes di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Umum mengetahui, China mempunyai jumlah penumpang paling ramai dalam pesawat jenis Boeing777-200ER itu iaitu seramai 153.
Tragedi dunia, bukan hanya China
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini berharap kesemua mereka bersabar kerana ia bukan sahaja melibatkan warganegara China malah negara lain.
“Secara peribadi, ia agak sukar untuk saya. Sebagai seorang ayah dan saudara, saya memahami apa yang mereka sedang lalui. Selagi kita belum jumpa objek itu dan mengesahkan ia adalah milik MH370, kita tidak boleh memberikan mereka sebarang jawapan.
“Saya juga berharap agar pihak keluarga di Beijing dapat memahami bahawa bukan mereka sahaja yang kehilangan orang tersayang. Mereka perlu faham bahawa kita di Malaysia juga ada kehilangan ahli keluarga. Ia melibatkan warganegara lain juga,” kata Hishammuddin dalam sidang media.
Beliau berkata, sungguhpun dapat mengawal tunjuk perasaan di kedutaan Malaysia di Beijing, namun ia tidak menjejaskan kerajaan China dan Malaysia.
“Hubungan government-to-government (G2G) mempunyai kefahaman yang erat dan mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, mengapakah rakyat Malaysia secara keseluruhannya harus menerima kesan amarah itu? Terkini, penyanyi Shila Amzah yang kini sedang bertanding dalam pertandingan I Am Singer, turut menjadi sasaran kemarahan terhadap tragedi ini.
Buktinya, laman sosial nombor satu China Weibo.com telah dipenuhi dengan komen-komen negatif dari peminat yang bukan sahaja menghina dan memaki Shila malah ada yang cuba menghalau Shila dari bertanding dalam program tersebut.
Namun begitu di sebalik komen-komen yang negatif yang diterima Shila , ada juga peminat China yang menyokongnya dan meminta peminat lain berfikir secara rasional dan tidak mengaitkan nama Shila dengan tragedi itu.
Tidak hanya Shila, malah ia turut yang berlaku kepada mana-mana rakyat Malaysia yang berada di China dipandang serong dan dimaki hamun.
Apa pun, rakyat China tidak boleh disalahkan kerana emosi kesedihan bercampur baur dengan kemarahan menguasai diri mereka.
Diharapkan, ia tidak akan menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara memandangkan sejarah persaudaraan Malaysia-China sudah termateri sejak beratus tahun.
Sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan