25 March 2014

Raungan keluarga di China sambut pengumuman Najib

23 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
BEIJING: Hanya kedengaran raungan kedukaan daripada keluarga penumpang MH370 yang ditempatkan di Hotel Lido di sini sejurus berakhirnya pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini berhubung pesawat itu malam tadi.

    
Beberapa anggota keluarga pengsan dan terpaksa diusung keluar oleh anggota paramedik selain berlaku pergelutan apabila sesetengah waris yang kesedihan cuba menghalang jurufoto daripada merakam gambar mereka.  
    
"Berhenti ambil gambar. Hentikan sekarang," jerit seorang lelaki kepada kumpulan warga media terbabit dan cuba menolak mereka sebelum dihalang oleh pengawal keselamatan.
    
Hampir 100 pengamal media berkumpul di hotel itu bagi menunggu pengumuman Najib.
    
Difahamkan anggota keluarga terbabit diberi taklimat oleh pegawai Malaysia Airlines (MAS) sebelum mendengar pengumuman Perdana Menteri.
    
Dalam pengumumannya, Najib berkata penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
    
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang hilang sejak 8 Mac lepas, membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China. 

Bernama


No comments: