10 March 2014

Satu cawangan satu usrah

8 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
Usrah merupakan satu nizam yang penting di dalam tarbiah PAS. Selain daripada usrah, ialah tamrin, liqa' al-Fikri, Majlis Ilmu, Daurah Tadribiah, Nadwah, Rehlah, Mukhayam, Qiamullail, Riadah. Kesemua program ini mesti digarap oleh semua ahli PAS supaya tidaklah mereka menyertai PAS hanya dari segi isi borang sahaja, sedangkan pemikiran dan tingkah laku tidak berubah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Biarlah apabila menjadi ahli PAS, dia perlu berubah dalam semua perkara, walau pun memakan masa yang lama.

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan satu medan yakni ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.

Usrah mesti diwujudkan di dalam setiap cawangan untuk memastikan PAS dapat memenuhi ciri-ciri Gerakan Islam dan Gerakan Politik. Ini adalah satu kelainan dengan jamaah lain kerana PAS juga merupakan gerakan politik, dua perkara ini mesti diseimbangkan.

Setiap cawangan PAS mesti menjalankan aktiviti Usrah, ia boleh dilakukan rumah ahli PAS secara bergilir. Buat permulaan laksanakan sebulan sekali. Kenapa buat di rumah ahli tidak di markaz? Jawapannya supaya program usrah dan ziarah boleh disekalikan. Maklumlah semua kalangan ahli PAS sentiasa sibuk, tidak ada masa untuk ziarah menziarahi antara satu sama lain. Apabila usrah dibuat di rumah setiap ahli, maka secara tidak langsung program ziarah berjalan secara serentak. Tujuannya supaya kita dapat memerhati suasana rumah ahli PAS. Kadang-kadang ahli PAS yang kita temui di markaz tidak sama dengan hakikat yang sebenar. Ada kalangan ahli PAS yang cukup dhaif, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang kental. Wajahnya tidak menunjukkan beliau seorang yang susah, sentiasa ceria dalam hidup. Tidak pernah ponteng program parti. Tidak pernah mengeluh apabila diberi arahan. Dengan kehadiran ahli PAS ke rumahnya, terutama pemimpin, wakil rakyat PAS, secara tidak langsung akan menyentuh kalbu kita apabila melihat rumah ahli PAS yang dhaif tetapi istiqamah di dalam perjuangan.

Kebaikan usrah buat di rumah, kita juga dapat memerhatikan rumah tangga ahli PAS, sama ada menepati dengan rumah tangga Islam atau tidak. Kita boleh perhatikan anak isterinya menutup aurat atau tidak. Setengahnya kita berjumpa di luar rumah lain dengan keadaan beliau berada di rumah. Kita  mungkin terkejut apabila melihat isteri dan anaknya tidak menutup aurat, sedangkan suaminya berjubah dan berserban. Semuanya tidak akan kita ketahui melainkan apabila kita ziarah rumah sahabat secawangan.

Perlu kita sedar bahawa kekuatan PAS terletak di cawangan, bukan di kawasan, negeri atau pusat. Hebat macam mana sekali pun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak ada makna, jika di peringkat akar umbinya lemah. Dua Tuan Guru tidak tahu secara terperinci kekuatan atau kelemahan PAS, begitu juga kekuatan atau kelemahan parti lawan. Maklumat ini hanya boleh disampaikan oleh cawangan kepada pimpinan tertinggi. Pimpinan tertinggi tidak boleh merancang strategi jika tidak mempunyai maklumat yang disampai oleh ahli peringkat cawangan. Apabila usrah berjalan di peringkat cawangan maklumat ini senang diperoleh, contohnya cula setiap lokaliti hanya akan diketahui oleh ahli cawangan.

Kita boleh lihat cawangan yang aktif mengadakan usrah, ahlinya hidup damai dan bersatu padu. Masalah dalaman dapat dikurangkan, kerana sering bertemu. Anasir-anasir yang tidak baik untuk meruntuhkan jemaah dapat dihindarkan. Motivasi ahlinya tinggi kerana sering diberi semangat di dalam usrah. Inilah sebenarnya matlamat usrah, selain daripada membina peribadi dan fikrah. Menjadi kelaziman manusia akan bermotivasi apabila sering diperingatkan sesama sendiri. Biasalah, manusia yang hidup di dalam kelalaian mesti hidup di dalam suasana nasihat menasihati antara satu sama lain, maka usrah adalah salah satu caranya.

Saya yakin apabila usrah berjalan di peringkat cawangan, masalah kewangan akan dapat diatasi. Idea supaya setiap ahli PAS infaq setiap bulan seorang seringgit masih belum menjadi kenyataan. Kalau projek ini berjalan maka PAS akan dapat mengumpul hampir satu juta sebulan. Kenapa? Jawapannya ialah bagaimana mekanisme hendak dibuat. Jika hendak buat arahan potongan secara bulanan melalui bank agak tidak praktikal, kerana kos pengurusan tinggi. Lebih-lebih lagi bukan semua ahli PAS mempunyai akaun bank. Sudah tentulah usrah merupakan salah satu caranya.

Sebenarnya ahli PAS bukan kedekut hendak memberi kepada PAS. Kalau kedekut maka sudah pasti tidak ada markaz yang didirikan oleh ahli PAS dengan wang sendiri. Cuma mekanismanya yang tidak ada untuk pungut. Jika hendak suruh bendahari pergi memungut ke setiap rumah juga tidak praktikal. Kadang-kadang bendahari pergi ke rumah ahli, tetapi ahli tidak ada di rumah. Tetapi jika usrah berjalan, insya-Allah perkara ini dapat diatasi. Setiap ahli PAS akan bawa wang sewaktu mereka hadir ke usrah dan diberi kepada bendahari cawangan. Jika mereka terlupa mereka akan gandakan untuk bulan berikutnya.  Jika usrah berjalan, idea untuk memungut sejuta sebulan menjadi kenyataan dengan setiap ahli infaq satu ringgit sebulan.

Lajnah ekonomi juga dapat menambahkan pendapatan cawangan. Contohnya setiap ahli diwajibkan membeli satu tiub ubat gigi dan satu kotak sabun basuh Hilal setiap bulan. Ini adalah barang keperluan yang mesti diguna oleh setiap ahli Pas. Jika hasil jualan dua barang ini memberi keuntungan seringgit, maka berapa banyak wang tabung cawangan akan diperoleh. Diandaikan ada 30 orang ahli PAS, maka cawangan akan memperolehi RM30 sebulan, setahun RM360, lima tahun RM1800. Apabila pilihanraya tidak timbul lagi masalah kewangan di setiap lokaliti dan Unit Peti Undi.

Jika usrah berjalan soal menambah ahli akan dapat dilakukan. Misalnya setiap ahli PAS diarahkan mencari setahun seorang ahli baru. Ertinya setiap bulan sebelum memulakan usrah, naqib akan meminta borang keahlian daripada siapa yang membawa. Bulan hadapan akan diminta lagi. Secara tidak langsung ahli PAS akan berlumba-lumba untuk mencari ahli baru sebagaimana diarahkan oleh naqib. Begitu juga dengan daftar pemilih. Naqib akan pastikan nama anak-anak ahli yang cukup umur 21 tahun akan dipantau di dalam usrah supaya mereka mendaftar anak dengan SPR.

Paling penting ialah kebajikan ahli akan terjamin. Perlu diingat politik orang kampung, politik masyarakat. Jika PAS boleh pastikan kenduri, sakit, meninggal mereka terbela maka mereka akan berani untuk mendekati PAS. Oleh sebab itu kita lihat di tempat yang kuat Umno, PAS mendapat undi secara senyap kerana takut di pulau oleh Umno jika diketahui secara terang. Insya-Allah dengan usrah ada di cawangan soal kebajikan akan terpelihara. Apabila ada berita seorang ahli sakit, meninggal dan hendak buat kenduri terus dimaklum di dalam majlis usrah. Semua ahli akan mengambil perhatian dan tindakan untuk membantu. Inilah pentingnya usrah di dalam jemaah kita.

Timbul persoalan, bagaimana jika tidak ada naqib di dalam cawangan tersebut, atau naqib tidak datang apa yang perlu dilakukan? Program usrah mesti diteruskan. Ketiadaan naqib jangan menjadi alasan untuk tidak ada usrah. Ahli boleh membaca Yasin, tahlil kemudian buat tazkirah. Bahan tazkirah boleh baca terus daripada penulisan Tuan Guru di dalam Harakah atau mana- mana buku yang difikir sesuai. Kemudian bincang program yang akan dilaksanakan di cawangan atau kawasan. Hebahkan kepada semua ahli jika ada majlis kenduri yang memerlukan pertolongan daripada ahli cawangan. Atau makluman mengenai ahli yang sakit untuk diziarahi samaada di hospital atau di rumah.

Makanan biarlah disediakan oleh cawangan, bukannya oleh tuan rumah. Pengalaman yang saya perhatikan usrah di cawangan mati, apabila tuan rumah tidak sanggup menyediakan jamuan. Tetapi apabila cawangan sendiri yang menyediakan jamuan, insya-Allah semuanya sanggup untuk menyediakan rumahnya sebagai tempat usrah. Insya-Allah jika usrah dijalankan di peringkat cawangan PAS akan kukuh sama ada dari segi pembinaan fikrah, peribadi dan jamaah. Jom kita buat usrah di cawangan masing-masing. Setelah buat mesti ada kelainanya. Cuba dulu baru tahu.

No comments: