12 April 2014

Adun DAP minta elaun guru KAFA dinaikkan

13 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor.

Beliau berkata, elaun yang diterima kini perlu segera dinaikkan, terutama bagi guru KAFA yang berkhidmat di kawasan bandar yang terpaksa berdepan kos hidup yang tinggi.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu mengambil kira beban yang ditanggung pendidik KAFA dan membela nasib mereka yang lama diabai Barisan Nasional (BN).

“Saya menemui beberapa guru KAFA dan mereka menyuarakan keluhan bahawa elaun yang diterima masih tidak mencukupi terutama di kawasan bandar seperti Puchong.

“Saya percaya, mereka bukan merungut dan meminta simpati, sebaliknya ikhlas mendidik tetapi kita perlu lebih realistik dalam keadaan kos hidup yang tinggi.

“Saya minta sekurang-kurangnya elaun mereka boleh dinaikkan sehingga RM1, 500 sebulan,” katanya yang dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, ketika ucapan penggulungan Titah Tuanku Sultan Selangor oleh Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali, Sze Han mencelah memohon elaun guru KAFA dinaikkan.

Halimah dalam responnya berkata, perkara berkenaan kenaikan itu memang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat dan sedang dalam proses untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Ketika era BN, elaun guru agama KAFA di Selangor hanya RM738.30 sebelum dinaikan kepada RM1,000 selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran negeri, pada 2008.

Kerajaan Negeri pada Febuari tahun lalu, sekali lagi menaikan elaun guru KAFA kepada jumlah terkini RM1,300 sebulan.

No comments: