08 April 2014

Ketirisan Masih Jadi Budaya Kerajaan

8 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -


Membaca laporan audit bagi tahun 2013 yang dibentangkan hari ini, suatu kesimpulan yang nyata ialah maslah ketirisan, tidak amanah, sambil lewa, cuai dan mengutamakan kroni masih menjadi budaya di dalam kerajaan pimpinan BN yang hanya memperolehi sokongan undi popular sebanyak 47 peratus dalam pilihanraya umum lalu.

Masih kedengaran lagi berita-berita menyedihkan seperti projek gagal disiapkan mengikut jadual, nilai kontrak lebih tinggi daripada sepatutnya, pemberian kontrak kepada syarikat muflis, peralatan berhabuk dalam stor, bekalan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, syarikat yang dilantik lewat menyerahkan kutipan rumah PPR sehingga kerajaan menanggung kerugia, syarikat gagal menyiapkan projek dan sebagainya.
Walaupun menurut Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, laporan audit pada tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan pemantauan yang lebih ketat oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan, hakikatnya kerugian wang kerajaan masih banyak berlaku.

Dilaporkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan dipanggil dan 121 kes pula berkemungkinan berdepan tindakan, harapan orangramai ialah tindakan itu benar-benar menjadi kenyataan akhirnya.

Diharapkan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, isu berkaitan ketirisan dan penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit ini hanya meriah menjadi mainan di media-media saja tetapi tindakannya "habuk pun tak ada" atau kalau ada tindakan pun hanya ikan-ikan bilis saja yang diambil tindakan.

Seperti dalam laporan audit tahun lepas misalnya, isu berkenaan penajaan artis K-Pop telah menjadi isu besar dan percanggahan sama ada ia ditaja atau dibayar oleh kerajaan begitu jelas. Tetapi, meskipun setelah banyak percanggahan ketara didedahkan kepada umum, akhirnya tiada apa-apa tindakan pun diambil.

Yang ada hanyalah janji daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa artis K-Pop tidak akan dipanggil lagi dalam sambutan Hari Belia, manakala menteri sebelumnya, Ahmad Sabery Cheek hanya sekadar memenuhi formaliti dipanggil memberi keterangan saja dan PAC akhirnya berpuas hati dengannya sedangkan laporan audit sebelumnya adalah sebaliknya.

Keadaan seperti itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan rakyat yang membayar cukai. Mereka mahukan kerajaan membuktikan ketelusannya dan tindakan yang diambil pula mestilah menampakkan kesan yang ketara.

Dengan janji PAC untuk memanggil lima kementerian dan 121 kes lagi bakal berdepan tindakan pada tahun ini, adalah diharapkan tindakan yang benar-benar berkesan dapat diambil dan menjadi hidangan yang menggembirakan bagi rakyat yang kini sedang berdepan dengan pelbagai kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang kian meninggi.

Sejak sekian lama, rakyat sebenarnya sudah letih menatap pelbagai berita mengenai ketirisan, penyelewengan dan salah laku setiap kali laporan audit dibentangkan, bahkan pernah dilaporkan ketirisan wang kerajaan menjangkau RM20 bilion setahun beberapa tahun lalu, namun tiada jua tindakan berbentuk pengajaran dan pencegahan yang konkrit diambil.
(SH 07/04/2014)

No comments: