04 April 2014

MH370: Pertimbang guna sonar robotik

3 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
PERTH - Malaysia akan mempertimbangkan untuk menggunakan alatan sonar robotik berkawalan jauh di lokasi pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, alat itu berkemampuan mengesan objek dalam air berkedalaman tinggi.

“Ini sebagai salah satu usaha kita dalam berdepan jangka hayat kotak hitam yang mampu bertahan selama 30 hari,” katanya, semalam.

Najib juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah tersilap langkah sepanjang usaha mengesan pesawat MH370 dijalankan.

“Semua tindakan dibuat berdasarkan nasihat pakar, data satelit dan analisis yang telah dibuat hasil daripada pemeriksaan dan kajian yang teliti.

“Selain itu, perkongsian itu dibuat melalui maklumat yang diterima daripada penggunaan teknologi tinggi dan terkini,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu terbukti tepat apabila kawasan pencarian kini lebih kecil dan spesifik.

Menurut Najib, misi pencarian pesawat MH370 juga secara tidak langsung telah menyatukan semua pihak.

“Keadaan ini terbukti apabila lebih 20 negara berganding bahu dalam usaha mencari pesawat ini, di samping memastikan operasi berjalan lancar.

“Tragedi ini berlaku tanpa diduga, dan semua pihak bersatu bagi membantu mencari MH370,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sebagai misi pencarian ini sebagai luar biasa apabila melihat komitmen yang ditunjukkan semua pihak.

Perdana menteri sekali lagi memberi jaminan bahawa usaha mencari tidak akan dihentikan selagi tidak mendapat jawapan di sebalik misteri kehilangan itu.

Tindakan itu dibuat kerana Malaysia memahami perasaan yang dihadapi waris semua keluarga penumpang dan krew penerbangan.

Tegas beliau, Malaysia prihatin dengan perasaan setiap ahli keluarga dan berusaha untuk memberikan perkhabaran terkini mengenai usaha pencarian pesawat milik MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Sinarharian

Tiada ulasan: