04 April 2014

Alumni pelajar K'tan Mesir anjur jelajah solidariti 529

3 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Sebagai menzahirkan rasa kebersamaan terhadap apa yang berlaku di negara Mesir, pihak persatuan Alumni Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (Alumni KPKM) mengambil tanggungjawab mengadakan Jelajah Solidariti 529 di seluruh negeri Kelantan.

Menurut Penyelaras Program, Ustaz Mohd Asri bin Daud, siri jelajah ini diadakan bagi mengajak masyarakat bersolidariti terhadap nasib 529 rakyat negara itu yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah regim kudeta.

Apa yang menarik, jelajah ini menggunakan pendekatan persembahan pidato, flashmob, pengkisahan selain dari tayangan video dan solat hajat.

"Setakat ini kami tidak putus-putus menerima undangan untuk mengadakan program ini," katanya.

Pihak mereka juga turut menampilkan penceramah berwibawa dan dekat dengan isu pergolakan Mesir seperti penganalisis isu Mesir, Ustaz Malik bin Abdul Karim dan lain-lain.

 Menurut Mohd Asri, mana-mana pihak yang berminat boleh menjemput mereka untuk hadir.

"Pihak Parlimen atau DUN hanya perlu menyediakan kelengkapan logistik, manakala kami datang bersama pasukan kami termasuk Pengerusi Alumni KPKM, Ustaz Zulkipli Mat Yusoh," katanya lagi.

Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kelantan mengharapkan Jelajah 529 ini sedikit sebanyak akan menyalurkan maklumat kepada orang ramai tentang kekejaman dan kezaliman kerajaan Mesir yang dikuasai oleh kudeta pimpinan Abdul Fattah As Sisi yang menjatuhkan hukuman gantung kepada 529 orang anggota ikhwanul Muslimin Mesir.

Jelajah terdekat ialah 7, 13 dan 15 April, masing-masing di Pasir Puteh, Kuala Krai dan Masjid Beijing Rantau Panjang.

Menyusul selepas itu pada 18 April di Tanah Merah dan 21 April di Kubang Kerian.

Harakahdaily

No comments: