24 April 2014

Perbankan Islam berkembang selepas dirintis Kelantan

25 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -

KOTA BHARU: “Pada masa itu seramai 13 pengurus dan pegawai bank datang menemui saya setelah kerajaan negeri membuat keputusan memindahkan wang ke Bank Islam.

“Biar pun mereka merayu, namun saya tetap juga memindahkan wang kerajaan negeri ke akaun yang selaras dengan syariat.

“Seingat saya selepas itu perbankan Islam mulai berkembang di Malaysia. Ada bank pada peringkat awal hanya membuka kaunter perbankan Islam,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis penyerahan van jenazah kepada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI,) kelmarin.

Van tersebut disumbang Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi kegunaan masyarakat yang tinggal di sekitar Kota Bharu.

Ia diserah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid kepada Yang Dipertua MPKB-BRI, Adnan Hussin.

Turut hadir pada program yang diadakan di perkarangan Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, ahli-ahli Majlis dan pegawai MPKB-BRI serta pegawai Bank Muamalat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, selepas usaha dirintis kerajaan Kelantan pada awal 1990-an, perbankan Islam berkembang pesat di negara ini.

“Kerajaan negeri mengambil langkah itu sebagai titik tolak kepada perubahan ke arah Islamik dalam pentadbiran kerajaan.

“Bermula dari situ orang ramai beransur-ansur menerima amalan Islam di dalam setiap aspek kehidupan mereka,” tambahnya.
Harakahdaily.-

Tiada ulasan: