02 April 2014

Senarai Kadar TOL untuk JAMBATAN Ke 2 Pulau Pinang

1 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
GEORGETOWN - Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) hari ini mempertahankan kadar tol yang ditetapkan bagi penggunaan jambatan kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (SAHMS).

   
Pengarah urusannya Datuk Ir Dr Ismail Mohamed Taib berkata ada pihak mempertikaikan bahawa kadar RM8.50 yang dikenakan itu RM1.50 atau 21.4 peratus lebih tinggi daripada kadar tol yang dikenakan di jambatan pertama.   
Tetapi, kata beliau, jarak di atas permukaan laut bagi jambatan baharu itu ialah 16.9 kilometer, sekali ganda lebih panjang daripada jambatan pertama.
   
"Jika dibuat perbandingan berdasarkan kos bagi setiap kilometer, tol bagi jambatan baharu ini lebih murah iaitu 50 sen bagi setiap kilometer, berbanding 84 sen bagi setiap kilometer di jambatan pertama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
    
Beliau berkata walaupun jambatan baharu itu lebih panjang, namun ia tidak banyak menjejaskan penggunaan bahan bakar kerana selalunya kenderaan menggunakan lebih banyak bahan bakar apabila bergerak perlahan di jalan sesak, berbanding dipandu dengan lancar di laluan lebih panjang.
   
Menurut beliau kenderaan berat pula dibenar menggunakan Jambatan SAHMS sepanjang masa.
   
Kenderaan berat tidak dibenar menggunakan jambatan pertama antara 6.30 pagi dan 8.30 pagi, dan dari 5 petang hingga 7 malam.
   
Dr Ismail berkata di samping tol untuk jambatan berkenaan, pengguna juga perlu membayar tol bagi jalan yang dibina untuk menghubungkan Lebuhraya Plus sedia ada hingga ke jambatan itu di persimpangan bertingkat baharu Jambatan SAHMS.
   
"Mulai hari ini, pemandu kenderaan yang menggunakan jambatan baharu ini perlu membayar tol apabila memasuki Pulau Pinang di plaza tol Jambatan SAHMS dan di plaza tol bersepadu Bandar Cassia," katanya.
   
Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan kadar tol bagi jambatan baharu itu ialah RM1.70 untuk motosikal (Kelas 0); RM8.50 untuk kereta, kecuali teksi dan bas (Kelas 1); RM30.50 untuk kenderaan dua gandar dan enam roda, kecuali bas (Kelas 2); RM70.10 untuk kenderaan tiga gandar atau lebih, kecuali bas (Kelas 3); RM8.50 untuk teksi (kelas 4) dan RM26.20 untuk bas (Kelas 5). 

- Bernama

Tiada ulasan: