27 Mei 2014

Bagaimana senangnya beri RM40 juta kepada VIP

27 Rejab 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus jujur dan memperhitungkan kesemua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai keadaan kewangan yang meragukan.

"Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni," ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyatakan demikian sebagai respons kepada isu skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat yang didedahkan oleh bekas menteri yang juga bekas pengerusi bank itu, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Perdana Menteri mesti menghormati akauntabiliti dan ketelusan dengan berlaku jujur tentang skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat yang didedahkan oleh bekas menteri yang juga bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Ini berikutan pendedahan mengejutkan dalam “The Malaysian Insider” hari ini tentang hubungan naungan, permainan wang dan salah guna dana awam untuk kroni oleh pengurusan tertinggi, seperti yang didedahkan Sabbaruddin Chik setelah tempoh khidmatnya tidak dilanjutkan bersabit permohonan pinjaman RM40 juta seorang VIP yang mempunyai hubung kait dengan Putrajaya.

Sabbarauddin memberitahu The Malaysian Insider bahawa VIP tersebut telah menggunakan hubungan politiknya untuk menyelesaikan hutang berjumlah RM32 juta tanpa kiraan faedah kerana campur tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Sabbaruddin mendedahkan bahawa lembaga pengarah Bank Rakyat awalnya menolak kompromi yang ditawarkan VIP itu untuk menyelesaikan hutang tertunggak berjumlah RM40 juta dengan menawarkan 120 cek tunda untuk ditunaikan oleh pihak bank dalam jangka masa 10 tahun.

Sepuluh tahun untuk membayar suatu hutang tanpa faedah bermaksud mendapat wang tersebut tanpa apa-apa bayaran tambahan, jika faedah ditambat pada kadar 10% setahun.

Lembaga pengarah Bank Rakyat bertindak tepat menolak penipuan dalam tawaran yang penuh skandal oleh VIP terbabit kerana ia membawa kerugian kepada pihak bank dan bertentangan dengan kepentingan awam.

Sabbaruddin turut menunjukkan kepada The Malaysian Insider sepucuk surat yang ditandatangani oleh Hasan mengarahkan Bank Rakyat untuk akur kepada syarat kompromi yang ditawarkan oleh VIP itu.

Setelah lembaga pengarah enggan berbuat demikian, Hasan tidak puas hati dan enggan pula menandatangani surat untuk menyambung tempoh perkhidmatan Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat, yang berakhir pada 8 April, walaupun Bank Negara telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak Sabbaruddin.

Datuk Seri Najib mesti menjelaskan pendedahan Sabbaruddin ini kepada orang ramai kerana VIP yang dimaksudkan mempunyai pertalian rapat dengan pemimpin BN dan mempunyai capaian ke pusat kekuasaan Putrajaya.

Kedua, Najib mesti menjelaskan apakah asas untuk Bank Rakyat meluluskan pinjaman ini.

Adakah ia semata-mata politik atau adakah mengikut prosedur yang betul dengan mengikut peraturan yang digariskan sewaktu Bank Rakyat memberikan pinjaman RM40 juta ini kepada VIP tersebut?
Bagaimanakah pinjaman yang begitu tinggi nilainya sebanyak RM40 juta senang-senang diberikan kepada seorang VIP tanpa kemampuan membayar semula atau sebarang kekuatan kewangan?

Ketiga, Najib juga harus menjelaskan apa yang terjadi kepada tawaran kompromi oleh VIP ini selepas tempoh khidmat Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak dilanjutkan.

Adakah VIP tersebut dibenarkan untuk membuat pembayaran semula secara 120 kali ansuran selama 10 tahun, tanpa faedah?

Akhir sekali, Najib harus jujur dan memperhitungkan kesemua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai keadaan kewangan yang meragukan.

Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni.

Selanjutnya ia turut mempersoalkan kredibiliti dan integriti Bank Negara dalam memastikan sistem kewangan yang baik dan boleh dipercayai apabila pinjaman diberikan semata-mata atas dasar naungan politik pemberian wang. -HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: