01 Mei 2014

'Lautan merah' banjiri Dataran bantah GST

1 Rejab 1435. [MOD] -
  • Seramai 50,000 peserta yang mengambil bahagian itu berkumpul di empat lokasi utama iaitu KLCC, Sogo, Dataran Maybank, dan Masjid Negara sebelum berarak ke Jalan Raja yang terletak berdekatan Dataran Merdeka.
    Peserta dilarang menggunakan padang Dataran Merdeka kerana kawasan tersebut sedang dinaiktaraf.

    Selain di Kuala Lumpur, satu lagi demo berasingan turut berlangsung di Pulau Pinang, anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

    GST yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan bajet 2014 Oktober lalu, akan dilaksanakan pada April 2015.

    Bantahan melalui perhimpunan hari ini bagi menyatakan bahawa pelaksanaan kutipan cukai tersebut akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan menambahkan beban isi rumah.

    VIDEO | GALERI FOTO

    LAPORAN LANGSUNG

    4.30pm Dataran Merdeka - Anwar berkongsi saranan dari rakan-rakannya di luar negara yang menggesa beliau agar tidak pulang ke Malaysia selepas berkunjung ke London baru-baru ini.

    "Tapi saya katakan 'tidak'! Saya akan balik ke Malaysia untuk berjuang!,” katanya.

    Anwar berkata mereka tidak seharusnya menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.

    “Jika kita kerajaan, kita perlu dengar cakap kerajaan atau kerajaan dengar cakap kita?,” soalnya.

    Anwar berkata, perhimpunan hari ini yang dijayakan oleh Mat Sabu akan digerakkan sekali lagi sehingga kerajaan menghentikan pelaksanaan GST.

    Kumpulan peserta seterusnya bersurai selepas bacaan doa dan turut mengutip sampah termasuk botol plastik dan beg plastik.

    4.12pm NGO hak asasi Lawyers for Liberty mengucapkan tahniah kepada PDRM yang membantu kelancaran perhimpunan hari ini.

    NGO tersebut menyiarkan gambar di Twitter menunjukkan anggota polis trafik mengawal lalulintas.

    "Begitu jarang sekali. PDRM menghentikan lalu lintas demi rakyat. Syabas kerana membantu hak berhimpun," tulisnya.

    4.12pm Dataran Merdeka Timbalan presiden PAS kembali ke pentas untuk meminta peserta agar tidak berganjak. Acara akan berakhir sebelum waktu solat Asar, jam 4.31 petang.

    "Hujan ini hanya gimik. Kita rasa panas jadi hujan ini akan sejukkan badan kita,” katanya dengan bergurau.

    4.02pm Dataran Merdeka - Guruh bergema di kawasan perhimpunan manakala awan gelap menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.

    3.45pm Dataran Merdeka - Jumlah peserta dianggarkan meningkat kepada 30,000 orang. Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan berucap tidak lama lagi.

    3.30pm Dataran Merdeka - Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dalam ucapannya membangkitkan bahawa kerajaan melaksana GST kerana tidak mampu menguruskan isu rasuah, pembaziran dan salah guna kuasa.

    Jangan tindas rakyat dengan kegagalan pentadbiran kamu. Rakyat diseksa, cukup kami diseksa, cukup di sini.

    “Bawah pentadbiran baru, bukan hanya Altantuya yang hilang, enjin jet hilang malah seluruh kapal juga hilang.

    “Ini menunjukkan kegagalan pentadbiran di Malaysia,” katanya.

    3.10pm Dataran Merdeka - Sekumpulan pemuda Cina yang secara terbuka mengaku homoseksual turut menyertai perhimpunan.

    Mereka membawa plakad dengan tulisan dalam bahasa Cina yang membawa slogan "Kami homoseksual, kami tentang GST" dan "Tidak kira saya tidur dengan siapa, saya tentang GST".

    Sementara itu, timbalan presiden PKR Azmin Ali dalam ucapannya berkata perhimpunan hari ini berlangsung di hadapan bangunan menempatkan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

    "Hari ini (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak mahu ulangi tindakan sama dan hukuman sama.

    "Kita mahu ingatkan perdana menteri, jangan cuba tindas rakyat dan Anwar Ibrahim.

    "Jangan sentuh Anwar Ibrahim. Rakyat Malaysia tidak akan benarkan Anwar dipenjara, biarpun sesaat," katanya.

    2:40pm Dataran Merdeka - Jumlah peserta semakin bertambah dan saling himpit menghimpit antara satu sama lain.

    2.38pm Dataran Merdeka - Jumlah peserta yang berarak dari Masjid Negara bertambah kepada 25,000 orang apabila disertai oleh kumpulan yang tiba lebih awal di persimpangan Jalan Tun Perak - Jalan TAR.

    Setiausaha Pemuda PAS Mohd Nasaie Ismail melaungkan "Merdeka" sebaik mereka tiba di kawasan Dataran Merdeka.

    2:30pm Dataran Merdeka - Kedua-dua kumpulan, dari Jalan TAR dan Masjid Negara bergabung di Jalan Raja, di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

    Mereka mengibar bendera dan petugas yang membawa pembesar suara tidak putus-putus melaungkan "Merdeka" dan "Tolak GST" dengan disambut orang ramai.

    2.30pm Jalan Ampang - Kumpulan peserta di KLCC mula berarak ke arah Dataran Merdeka dengan bendera berwarna merah kelihatan membanjiri Jalan ampang berdepan bangunan Avenue K.

    Kumpulan ini diketuai Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan dan mereka berarak sambil berselawat ke atas nabi diikuti laungan "Bangkit! Bangkit! Bangkit rakyat!".

    Bas dan teksi juga terperangkap dalam kesesakan di belakang kumpulan peserta ini yang berjalan perlahan-lahan menuju ke Dataran Merdeka.

    Turut kelihatan berarak bersama kumpulan ini adalah bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga dan pengasas NGO Suaram, Dr kua Kia Soong.

    2.16pm Masjid Negara - Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bersama beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat mengetuai lebih 5,000 peserta yang baru selesai menunaikan solat Zohor untuk berarak ke Dataran Merdeka.

    Mereka melaungkan slogan "Hancur BN", "Hancur GST" dan "Hancur BN" sambil diawasi oleh Unit Amal PAS.

    Jumlah peserta, termasuk di Jalan Ampang, di persimpangan Jalan TAR dan Jalan Tun Perak serta di Dataran Maybank, kini mencecah 10,000 orang.

    2pm Jalan Ampang - Peserta himpunan yang duduk mula mendengar ucapan beberapa wakil NGO di antaranya merupakan aktivis siswa, Mohd Bukhairy Sufian, dan aktivis anti-Lynas, Wong Tack.

    Di pintu masuk KLCC pula, petugas-petugas keselamatan pusat membeli-belah Suria KLCC berdiri dan meninjau keadaan semasa.

    Mereka dilihat menghalang individu dengan kain pengikat kepala dengan mesej GST atau bendera-bendera anti-GST berwarna merah daripada masuk ke pusat membeli-belah.

    1.20pm Jalan TAR - Kira-kira 1,000 peserta yang berarak dari Sogo tiba di persimpangan jalan TAR - Jalan Tun Perak.

    Sebilangan daripadanya berteduh di bawah pokok dan juga di bawah landasan LRT sementara menunggu kumpulan lain.

    1.10pm Masjid Negara Seorang petugas Unit Amal daripada PAS Hulu Langat memaklumkan kepada peserta supaya tidak termakan dengan pelekat dengan slogan "Hudud For All, Muslim and Non Muslim (Hudud untuk semua, Islam dan bukan Islam)".

    Petugas itu memaklumkan bahawa satu tindakan provokasi daripada pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukan dikeluarkan oleh pihak penganjur.

    "Ia bukan daripada pihak kita. Ini untuk provokasi kepada perhimpunan aman kita," kata petugas Unit Amal itu.

    Kata petugas parti PAS yang lain, pelekat itu ditemui oleh petugas unit Amal dalam jumlah yang "banyak".

    Dia juga turut menunjukkan pelekat tersebut kepada para wartawan dan jurugambar.

    Sementara itu seorang peserta dripada Pulau Pinang berkata beliau menemui pelekat bertulis: "Hudud is barbaric" dengan karikatur tiga orang berjubah sedang sebat seorang individu dan mengandungi logo DAP.

    "Ini memang teruk, sebab hari ni tahu anti-GST, ini provokasi. Saja nak melaga-laga kita," katanya yang tidak mahu namanya disebut.

    1.16pm Jalan Ampang dekat KLCC - Seorang individu yang sebelum ini didakwa di mahkamah berhubung kes National Feedlot Corporation Datuk Shamsubahrin Ismail dilihat mengawal lalu lintas untuk teksi.

    Menurutnya, beliau kebetulan berada di kawasan ini kerana meninjau perjalanan operasi kereta sewa miliknya di hadapan KLCC.

    "Himpunan ini objektifnya bagus dan setakat ini saya lihat himpunan ini aman," katanya kepada Malaysiakini.

    1pm Sogo - Kira-kira 2,000 peserta himpunan kini mula berarak dari pusat membeli belah Sogo ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    Pergerakan peserta himpunan itu yang memenuhi ruang jalan raya tersebut menghalang laluan lalu lintas di jalan berkenaan.

    Jalan Ampang dekat KLCC - Kira-kira 300 orang dengan sebahagian besarnya berbaju T merah sudah berkumpul di depan pintu masuk KLCC berhampiran Jalan Ampang.

    Sebahagian hadirin juga kelihatan memakai baju hitam SAMM dan antara personaliti yang kelihatan adalah Chegubard dan bekas ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

    1.00pm Masjid Negara Peserta Protes Anti-GST berbondong-bondong menuju ke Masjid Negara menunaikan solat Zohor berjemaah.

    12.37pm Dataran Merdeka - Dua orang pelancong China ketika ditemui berkata mereka tidak bimbang dengan kehadiran lebih 100 orang anggota polis yang mengelilingi Dataran Merdeka.

    Seorang daripadanya yang enggan dikenali berkata perhimpunan tersebut menunjukkan kerajaan sedia mendengar suara rakyat.

    "Kami tidak terkejut mahupun bimbang," katanya yang menambah suasana seperti itu amat jarang berlaku di China.

    Walaupun kawasan padang itu ditutup, polis tetap membenarkan pelancong melepasi sekatan untuk bergambar di kawasan tersebut

    12 tengahari Pulau Pinang - Perhimpunan berakhir selepas beberapa jurucakap membangkitkan isu hak pekerja di atas pentas dan juga ucapan penganjur, yang menyatakan penghargaan kepada 300 orang peserta.

    Dataran Maybank, KL - Seramai 200 orang berhimpun dengan membawa kain rentang dengan slogan 'GST bebankan rakyat' dan 'Derita Derita Derita'.

    Seramai kira-kira 50 orang anggota Unit Amal PAS sudahpun mengambil tempat namun pemimpin parti politik masih belum kelihatan.

    KLCC - Kelihatan sekumpulan lima orang lelaki berpakaian baju-T merah dipercayai peserta himpunan hari ini berlegar-legar di kawasan air pancut Taman KLCC.

    Empat orang polis berpakaian seragam tanpa lencara dilihat berkawal kira-kira lima meter dari kumpulan terbabit.

    11.50am Sogo - Seramai 500 orang memenuhi di hadapan pintu masuk kompleks tersebut.

    Ramai di kalangan peserta berkenaan mengambil peluang dengan dua pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan Datuk Kamaruddin di ruang tersebut.

    Selain itu, para peserta juga mengambil kesempatan untuk bersarapan di kedai roti mewah The Loaf, di perkarangan kompleks berkenaan sambil melihat-lihat kumpulan orang ramai.

    11.30am: Dataran DBKL berhampiran Dataran Merdeka - Kawasan ini ditutup dengan hadangan bongkah plastik dan kelihatan petugas DBKL beruniform berkawal di sekeliling Dataran DBKL.

    11.30am Masjid Negara - Ketua Penerangan PAS Kedah Mohamad Sanusi Mohd Noor yang ditemui Malaysiakini menggesa kerajaan mengambil kira suara rakyat yang bimbang dengan peningkatan kos sara hidup.

    "Kerajaan jangan buat pekak telinga. Kerajaan perlu mendengar bantahan rakyat mengenai GST.

    "Banatahan seumpama akan berterusan jika kerajaan enggan mendengar... Isu sara hidup jadi isu nasional dengan getah sekerap mencecah RM1.70 sekilogram di Baling, Ikan kembung di Kedah, RM15 sekilo.

    "Peningkatan yang luar biasa. Rakyat tak tahan tapi depa datang jugak tunjuk bantahan," katanya.

    Menurutnya lagi, terdapat peserta yang tiba seawal malam tadi atau sebelum subuh untuk menyertai perhimpunan ini.

    11.15am Sogo – Seramai kira-kira 200 orang peserta mengambil tempat di di hadapan kompleks membeli belah, manakala beberapa individu cuba mengambil kesempatan menjual barangan seperti  ikat kepala, baju-T dan topeng muka dan juga vuvuzela.

    Topeng dengan corak tengkorak itu dijual dengan harga antara RM10 hingga RM15. Penjualnya berkata, ia berguna bagi peserta demonstrasi yang tidak ingin dikenali.

    11am Masjid Negara - Jalan masuk ke Masjid Negara ditutup kepada lalulintas. Tiga orang anggota polis trafik dilihat berkawal di pintu masuk manakala peserta perhimpunan mula berhimpun di luar masjid.

    10.40am Pulau Pinang - pengerusi MTUC negeri S Ravindran menyalahkan akhbar tempatan yang didakwa memberi imej negatif ke atas perhimpunan hari ini sehingga menyebabkan tidak ramai menyertainya.

    10:40am: Para peserta yang berpakaian warna merah mula berhimpun di perkarangan kompleks membeli belah Sogo. Beberapa orang anggota penguatkuasa DBKL dilihat berkawal di pintu masuk utama bangunan tersebut, selain enam petugas keselamatan Sogo.

    10.25am Pulau Pinang - seramai 300 orang berhimpun di persimpangan Jalan Siram dan Jalan Telaga Air, Butterworth. Mereka membawa plakad dan bendera MTUC dan melaungkan slogan 'Hidup Pekerja'.

    10.20am Masjid Negara Suasana di sini meriah dengan kehadiran para peserta perhimpunan sejam jam 5 pagi. Beberapa individu dilihat membuka gerai menjual barangan dengan slogan anti-GST, termasuk baju-T berwarna merah.
Malaysiakini/-

Tiada ulasan: