26 Mei 2014

MAS dan AirAsia X Tawar Tiket Separuh Harga

26 Rejab 1435. [MOD] -

PETALING JAYA: Dua syarikat penerbangan gergasi di negara ini mula menawarkan potongan harga sehingga 60 peratus ke beberapa destinasi terpilih. 

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), menawarkan diskaun sehingga 50 peratus ke destinasi popular seperti London, Sydney, Chennai, Osaka dan Krabi.

Tiket pergi balik bagi destinasi seperti London ditawarkan pada harga RM2,699, sementara Frankfurt pada harga RM2,799. 

Syarikat penerbangan nasional itu turut menawarkan tambang RM1,999 bagi laluan ke Sydney dan RM1,099 untuk ke Perth.

Untuk laluan ke Chennai, New Delhi dan Kochi harga yang ditawarkan pula bermula daripada RM1,099, RM1,399 dan RM799 bagi kelas ekonomi.

Tawaran melalui Malaysia Airlines Travel Fair 2014 itu bermula pada 15 Mei dan berakhir esok.

Tempoh melancong ditawarkan sehingga 31 Disember tahun ini.

"Kami menggesa rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk menempah tiket penerbangan dan ia merupakan satu peluang baik untuk merancang percutian akhir tahun," kata Naib Presiden Kanan Serantau Malaysia Datuk Muzammil Mohamad dalam satu kenyataan.

Jualan tiket bagi destinasi popular termasuk London turut ditingkatkan.
Sementara itu, AirAsia X, melalui 'Markdown Festival' melakukan potongan harga sehingga 60 peratus ke 18 destinasi termasuk Perth, Gold Coast, Sydney, Melbourne, Tokyo, Busan, Chendu, Kathmandu dan Colombo. 
Tawaran daripada syarikat penerbangan tersebut bermula pada 19 Mei lalu dan akan berakhir Ahad ini. 
Ia bagi tempoh penerbangan antara 26 Mei hingga 30 April tahun hadapan. 
Untuk laluan sehala bagi kelas ekonomi ke Perth dengan AirAsia X tambangnya dikurangkan daripada RM439 kepada RM199.

Bagi destinasi seperti Gold Coast, Melbourne dan Sydney ditawarkan pada harga RM399 sehala, berbanding RM639 sebelum ini.

Pengarah Komersil AirAsia X, Datuk Bernard Francis berkata syarikat itu menawarkan lebih 35,000 tempat duduk "dengan potongan harga istimewa dengan pelancaran 'Markdown Festival'".

Promosi tersebut akan bermula 26 Mei hingga 31 Ogos dengan tawaran harga serendah RM279 bagi laluan Pulau Pinang ke Nagoya.
mstar.com.my

Tiada ulasan: