28 Mei 2014

Penghormatan terakhir jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah bermula 9 pagi esok

28 Rejab 1435. [MOD] -

Orang awam dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak malam ini, kumpulan kedua yang akan memberi penghormatan terakhir pada pukul 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari adalah orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing.


Ia disusuli Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan pada 1.30 petang hingga 2.15 petang.
Istiadat pelantikan dan pengisytiharan raja baharu akan disempurnakan pada 2.30 petang di balai sama sebelum diteruskan dengan istiadat pemakaman di Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah di sini, pada 3 petang.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Baginda yang memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. – Bernama

Tiada ulasan: