28 May 2014

Pengisytiharan sultan Perak yang baru esok

28 Rejab 1435. [MOD] -

Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baru akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang esok.
    
Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mangkat hari ini.

Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak akan diadakan lewat petang ini bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.
    
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di Istana Iskandariah, katanya.
    
Mesyuarat khas itu diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja
Pemerintah.
    
Ayob berkata istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu itu akan berlangsung selepas orang ramai dan orang kenamaan menziarahi serta memberi penghormatan terakhir buat Almarhum Sultan Azlan Shah.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
    
- Bernama

No comments: