29 May 2014

Perlantikan Sultan Perak baharu petang ini

29 Rejab 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah, istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Allahyarham Sultan Azlan Shah.

Semalam, satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak telah diadakan bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.

Ianya diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas petang ini selepas solat Asar.

No comments: