09 Mei 2014

Yingluck hadapi tuduhan cuai jalan tugas

8 Rejab 1435. [MOD] -


Yingluck Shinawatra yang dilucutkan jawatan sebagai perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan semalam, didapati bersalah hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) terhadap pertuduhan cuai menjalankan tugas berhubung skim subsidi beras.
NACC memperakukan supaya pertuduhan terhadap Yingluck berdasarkan peranannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Dasar Beras Kebangsaan, bertanggungjawab bagi skim subsidi yang menyaksikan kerajaan membeli beras petani lebih tinggi daripada harga pasaran.
  
Yingluck sekarang menghadapi undian pemecatan di Senat dan jika didapati bersalah, beliau dilarang menyertai politik selama lima tahun.
  
Keputusan hari ini hanya untuk proses pendakwaan di Senat sementara prosedur jenayah akan diteruskan secara ketelitian dan ketelusan, menurut NACC.
  
NACC memutuskan untuk mendakwa Yingluck berdasarkan keputusan sebulat suara 7-0, menyatakan beliau mempunyai niat untuk menyalahgunakan kuasa yang melanggar perlembagaan berkaitan pelaksanaan dasar.
  
Menurut NACC, Yingluck mengaku tahu tentang rasuah dalam skim itu semasa prosiding tetapi beliau tidak mengambil tindakan yang dianggap sebagai kecuaian.
  
Siasatan agensi pencegah rasuah itu menemukan bukti tentang rasuah yang berleluasa dalam skim itu.
  
Kerajaan masih berhutang berbilion-bilion Baht dengan petani dan menyimpan lambakan beras yang tidak terjual di seluruh negara.
  
NACC membuat keputusan itu sehari selepas Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatan Yingluck dan sembilan daripada anggota Kabinetnya dalam kes berasingan membabitkan pertukaran Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Thawil Pliensri.
  
Bagaimanapun, parti Thaksin Pheu Thai masih berkuasa kerana kebanyakan anggota kerajaan sementara masih memegang jawatan dan sebagai perdana menteri baru kerajaan sementara, Menteri Perdagangan Niwatthamrong Boonsongphaisan merupakan sekutu Yingluck dan abangnya, bekas perdana menteri Thaksin
Shinawatra.

Selama berbulan-bulan, kumpulan antikerajaan telah cuba mengulingkan Yingluck, bermula dengan langkah oleh penyokong kerajaan untuk memperkenalkan rang undang-undang pengampunan.

Para pengkritik menganggap langkah itu sebagai percubaan untuk mendapatkan pengampunan bagi Thaksin dan membuka jalan untuk beliau kembali selepas tinggal dalam buangan di luar negara.

Ia membawa kepada protes jalanan oleh penyokong Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat yang diketuai Suthep Thaugsuban.
  
Pilihan raya umum yang berlangsung pada Februari diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah selepas proses pilihan raya diganggu oleh penunjuk perasaan antikerajaan yang bertapak kukuh di Bangkok dan selatan negara itu.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya menimbangkan untuk mengadakan pilihan raya umum pada 20 Julai tetapi dibantah beberapa kumpulan pembangkang, menuntut supaya beberapa pembaharuan dilakukan terlebih dahulu.
  
Esok, kumpulan antikerajaan akan mengadakan perhimpunan besar-besaran manakala pada Sabtu, kumpulan Baju Merah yang prokerajaan akan mengadakan perhimpunan.

- Bernama

Tiada ulasan: