04 June 2014

Cadbury: MAPIM gesa perjelaskan kekeliruan fakta

6 Sya'aban 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Akibat perbezaan dapatan hasil ujian sampel coklat Cabbury, MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) mengesa kekeliruan isu kandungan DNA babi dalam coklat Cadbury yang tercetus akibat dua laporan yang berbeza dan bertentangan antara dua Agensi kerajaan iaitu JAKIM yang memperolehi keputusan makmal dari Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan, diperjelaskan segera.

“Kami mengesa Panel Pengesahan Halal Malaysia melihat semula cara serta proses sesuatu fakta dikeluarkan yang berkenaan dengan kehalalan sesuatu produk ditentukan. Sehingga kesahihan dan ketepatan maklumat ditentukan, semua pihak perlu berhati-hati dan merujukan kepada fakta secara objektif.” tegas MAPIM dalam kenyataan akhbarnya.

Kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, semalam berhubung status dua produk coklat Cadbury yang sebelum ini dikatakan tercemar DNA babi sangat mengejutkan kerana sebelumnya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan maklumat yang berlawanan.

Noor Hisham mempertahankan kesahihan yang dibuat oleh makmal Kementerian Kesihatan Malaysia. Apatah lagi sampel yang diuji diambil secara rawak di pasaran.

Sementara itu menurut Jamil Khir, Jabatan Kimia Malaysia (JKM) telah menguji sampel bagi dua produk coklat Cadbury yang diserah oleh JAKIM mendapati sampel tersebut iaitu :

Bahawa Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut mengikut nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2;  dan Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1, mengistiharkan laporan makmal Jabatan Kimia untuk kedua sampel itu  tidak dikesan mengandungi DNA babi.

Bagi MAPIM pula walaupun pemeriksaaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk iaitu bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia, namun ia kini sudah menjadi isu nasional yang sangat mengelirukan .

“Konflik maklumat tidak seharusnya berlaku antara agensi kerajaan yang berwibawa apabila ia melibatkan kepentingan orang awam. Daripada episod yang telah berlaku, ternyata ia telah menimbulkan ledakan kemarahan yang memuncak dari pelbagai pihak.” Tegas MAPIM lagi

Kini bukan sahaja wibawa dan intergriti syarikat terjejas malah agensi kerajaan yang berkaitan juga dipersoalkan. Tidak dapat dinafikan keyakinan masyarakat kini goyah terhadap pihak berkuasa yang bertanggungjawab serta sektor industri pemakanan yang mengendali isu sensitif seperti ini .

MAPIM mengharapkan pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang wajar jika benar pelanggaran syarat pengeluaran sijil halal berlaku, dan memastikan juga perakuan dan kesahihan sijil Halal tidak disalahguna.

No comments: