04 June 2014

Subsidi petrol, diesel baru hanya untuk rakyat bergaji bawah RM5,000, lapor akhbar

6 Sya'aban 1435. [MOD] -

Pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapatkan ‎kad subsidi minyak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Jun, 2014.
subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapatkan ‎kad subsidi minyak. – 
Hanya rakyat berpendapatan tidak melebihi RM5,000 sebulan yang menggunakan kenderaan enjin berkapasiti di bawah 2.0 liter layak menerima pemberian subsidi sepenuhnya dalam pelaksanaan kaedah pemberian subsidi petrol dan diesel yang dijangka bermula pada September ini lapor akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Pendedahan eksklusif akhbar tersebut yang memetik sumber dalaman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaporkan ‎sistem itu dijangkakan bermula pada September ini bagi kenderaan komersil manakala Oktober dan November bagi kenderaan persendirian.
Menurut Sin Chew Daily, sumber itu mengatakan pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan memberikan butiran berkaitan cukai perseorangan atau syarikat bagi mendapatkan ‎kad minyak tersebut.
Kad elaun subsidi minyak yang bakal diberikan kepada pengguna mengandungi maklumat seperti nama penerima, alamat dan kuota bulanan minyak.
Bagaimanapun menurut akhbar itu, sekiranya penggunaan elaun subsidi melebihi ‎kuota ditetapkan, ‎‎pengguna perlu membeli sendiri minyak mengikut harga pasaran.
Sumber itu juga mendedahkan pengguna kenderaan berpendapatan  RM5,000 ‎dan tidak melebihi RM10,000 turut layak menerima pemberian subsidi tersebut, bagaimanapun dihadkan hanya sebanyak 300 liter.
Di bawah skim ini bagaimanapun tidak boleh diguna pakai kepada mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 dan warga asing.
Menurut Sin Chew Daily, pelaksanaan sistem baru itu belum diputuskan secara rasmi kerana KPDNK masih mempertimbangkan keadah lain daripada pihak berkaitan.
Pada 29 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan memutuskan mengkaji semula pemberian subsidi minyak bagi memastikan tiada kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan.
Katanya, tahun lepas kerajaan membelanjakan sejumlah  RM2.48 bilion bagi pemberian subsidi petrol dan diesel manakala tahun ini pula sebanyak RM22.3 bilion.
Menurut Sin Chew Daily, pemberian subsidi berbentuk kad itu diputuskan bagi membolehkan kerajaan mengkaji nilai penggunaan minyak yang betul oleh pengguna.
Kerajaan juga dikatakan bercadang memperbaiki sistem MyKad bagi pertambahan maklumat penerima subsidi di dalam kad tersebut.
  The Malaysian Insider

No comments: