16 Julai 2014

Putrajaya berdepan kritikan berhubung cadangan penggabungan bank

18 Ramadhan 1435. [MOD] -

Adik perdana menteri Datuk Seri Nazir Razak adalah pemimpin tertinggi CIMB dan individu penting dalam penggabungan CIMB dengan Southern Bank Bhd. Gambar fail The Malaysian Insider.

Adik perdana menteri Datuk Seri Nazir Razak adalah pemimpin tertinggi CIMB dan individu penting dalam penggabungan CIMB dengan Southern Bank Bhd. Gambar fail The Malaysian Insider.















Putrajaya kini berdepan kritikan terhadap cadangan penggabungan CIMB Bank, RHB Bank, dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) apabila kesatuan perbankan nasional, pemimpin Umno dan kerajaan Abu Dhabi membantah pembentukan bank terbesar negara itu.

The Malaysian Insider difahamkan, Abu Dhabi menghantar wakilnya ke Putrajaya untuk menyuarakan bantahan mereka berhubung penggabungan itu, dan berkata kuasa pasaran seharusnya ditentukan pada harga terbaik untuk saham RHB yang mereka miliki sebanyak 21.4%.
Sumber memberitahu, mesej dihantar Abu Dhabi kepada Putrajaya adalah mereka akan mempertimbangkan pelaburan berbilion ringgit untuk projek Rapid Petronas di Pengerang, Johor sekiranya penggabungan bank itu diteruskan tanpa mengambil kira kepentingan negara Timur Tengah itu.
Mereka berkata, Aabar Investment PJS, yang mempunyai saham dalam RHB tidak bersetuju dengan sebarang tawaran di bawah RM12 sesaham kerana ia merupakan kos keseluruhan ditanggung Aabar ketika memperolehi pegangan saham daripada Bank Komersial Abu Dhabi pada 2011.
Negara teluk itu turut tidak gembira dengan tempoh eksklusif 90 hari diberikan kepada CIMB Bank untuk berunding tentang penggabungan yang mana bakal membentuk bank mega dengan aset sejumlah RM613.7 billion, mengatasi bank utama di Malaysia, Maybank Bhd yang memiliki RM578 bilion.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) Tan Eng Hong juga menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Bank Negara dan berkata pihaknya tidak dipanggil berunding untuk tujuan itu.
NUBE juga khuatir akan berlaku kehilangan pekerjaan terhadap pekerja kerana situasi itu sering berlaku dalam setiap penggabungan.
Secara politiknya, pemimpin Umno merungut kerana terpaksa berdepan pembangkang yang sering membantah nepotisme, menjelaskan, pemimpin tertinggi dalam CIMB merupakan adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Seri Nazir Razak.
Nazir turut menjadi individu penting dalam penggabungan CIMB sebelum ini dengan Southern Bank Bhd.
Bank berkenaan baru-baru ini mengumumkan Nazir akan dilantik sebagai pengerusi apabila penggantinya ditemui menjelang September.
Sesetengah pemimpin Umno bagaimanapun pelik kenapa Nazir dilantik untuk menguruskan aset negara, Khazanah Nasional Bhd, atau dibenar meneruskan penggabungan itu, dan berkata, tindakan itu tidak akan memberikan kesan buruk kepada imej Putrajaya sekiranya meminta Maybank bergabung dengan RHB dan MBSB.
Tidak jelas jika Najib sanggup menerima kritikan terhadap bantahan ini, dengan beliau bergantung daripada kebenaran Umno, Abu Dhabi yang merupakan pelabur utama dan juga kesatuan.
Pemindahan pegangan saham yang dilaksanakan Najib tiga tahun lalu antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia masih tidak menentu selepas 9 bulan berikutan bantahan daripada kesatuan sekerja MAS.
Lebih ironi lagi, perjanjian MAS-AirAsia itu dibrokerkan oleh sayap dagangan CIMB.
Cadangan penggabungan terbaru CIMB dengan RHB adalah pembaharuan daripada pelan asal pada 2011 yang dibatalkan. Maybank juga ingin membeli RHB namun rancangan itu tidak berlaku.
Penggabungan yang dilihat sebagai pembentukan bank Islam mega oleh pemerhati itu akan membentuk pasaran modal berjumlah RM88.4 bilion berdasarkan kadar pegangan dan keuntungan bersih RM7 bilion, melebihi Maybank yang berjumlah RM6.55 bilion.
Penganalisis berkata, kadar nilai saham RHB dan MBSB masing-masing pada RM11.80 dan 2.55, di bawah sedikit permintaan Aabar pada kadar RM12 untuk setiap pegangan mereka dalam RHB.
Antara pemilik saham utama bank itu adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), pengurusan terbesar pencen negara, yang memiliki 14.5% saham dalam CIMB, 41.3% dalam RHB, menurut data yang dikumpul Bloomberg. Kumpulan itu turut memiliki sejumlah 65% saham dalam MBSB.
- www.themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: