14 Julai 2014

Khalid Ibrahim nafi akan sertai PAS

16 Ramadhan 1435. [MOD] -

Gambar perjumpaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang dimuat naik di Facebook semalam yang menimbulkan spekulasi penghijrahan beliau kepada PAS. – Gambar Facebook Abdul Khalid Ibrahim, 13 Julai, 2014.

Gambar perjumpaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang dimuat naik di Facebook semalam yang menimbulkan spekulasi penghijrahan beliau kepada PAS. – Gambar Facebook Abdul Khalid Ibrahim, 13 Julai, 2014. -

Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan khabar angin beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menyertai parti itu selepas penyebaran gambar pertemuan tersebut di laman Facebook miliknya.


Menteri besar Selangor itu berkata, beliau turut bergambar bersama beberapa pemimpin daripada pelbagai parti termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN).
"Saya bergambar dengan perdana menteri, selepas itu dengan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan malam tadi bergambar dengan presiden PAS. Kalau berasaskan gambar saya, banyak parti sudah saya masuk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Selangor untuk Sukma 2014 di Shah Alam hari ini.
Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menafikan kehadiran beliau bersama Najib dalam program di ibu negeri Selangor itu baru-baru ini sebagai petanda untuk mempertahankan jawatan beliau selaku menteri besar.
"Tidak (pertahankan jawatan menteri besar). Perdana menteri ingin melawat Selangor, hadir di ibu negeri Shah Alam, ada baiknya menteri besar bersama-sama beliau.
"Tujuan kita menghormati beliau. Saya pun dapat pahala berjemaah bersama-sama," katanya.
Gambar Khalid bersama Hadi dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dimuat naik Khalid di laman Facebook miliknya malam tadi.
Penyebaran gambar tersebut menimbulkan spekulasi beliau akan menyertai PAS.
Kedudukan Khalid sebagai menteri besar kini menerima tekanan daripada musuh dalaman parti yang diwakilinya, PKR, apabila terdapat gesaan terbuka agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu melepaskan jawatan sebagai menteri besar.
Beberapa pemimpin PKR seperti Ketua Pemuda, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari secara terbuka meminta Khalid meletakkan jawatan ekoran tewas pertandingan mempertahankan Ketua Cabang Kuala Selangor dalam pemilihan PKR yang masih berlangsung. – 13 Julai, 2014.
- .themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: