14 Julai 2014

Piala Dunia: Penyokong Brazil berpesta sambut kekalahan Argentina

16 Ramadhan 1435. [MOD] -

RIO DE JANEIRO: Penyokong Brazil bersorak dan menari bagai pesta untuk meraikan kemenangan Jerman selepas gergasi Eropah itu menewaskan Argentina yang juga musuh ketat kepada skuad tuan rumah itu. 

Di bandar Brasilia dan Sao Paulo, percikan bunga api dilepaskan penyokong Selecao selepas Mario Goetze menjaringkan gol pada masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan Jerman di Stadium Maracana, di sini. 


Di kawasan riadah berhampiran stadium, penyokong Brazil melaungkan kata-kata “menangis! menangis! kepada penyokong Argentina sambil mengejek supaya mereka tidak menangis buat Brazil. 


Ribuan peminat Argentina yang berhimpun di pantai Copacabana di Rio bagi menonton perlawanan itu menerusi skrin gergasi hanya mampu terdiam dan tidak berkata apa-apa. 

Sementara penyokong Selecao mengambil kesempatan di pantai itu untuk menyanyi dan menari, ada pula yang mengibarkan bendera Jerman, tanda sokongan kepada pasukan kendalian Joachim Loew. 

“Syukur..syukur, Jerman menang. Jika Argentina menang, mereka akan meraikannya di tempat kita selama bertahun-tahun,” kata penyokong tuan rumah itu, Caio Ferraz, 45, yang memakai jersi kelab Rio, Flamengo berjalur merah hitam yang menyamai jersi Jerman. 

“Kita tidak mahu Argentina menang di sini (di Brazil). Jangan sekali-kali. Jerman pasukan dihormati walaupun mereka sudah membelasah pasukan kami,” kata seorang lagi penyokong Brazil, Cassio Conceicao, 51. 
Penyokong Jerman, Julian Deutz pula gembira dan tidak menyangka sokongan luar biasa daripada penyokong tuan rumah kepada pasukannya. 

“Sangat hebat apabila Brazil menyokong kita. Tetapi kita juga berasa kasihan kepada Brazil yang tewas di peringkat separuh akhir,” katanya. - Agensi. 

Tiada ulasan: