11 Ogos 2014

Isu MB: Pimpinan PAS dan PR tunggu tarikh 17 Ogos

15 Syawal 1435. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS dan PKR hari ini mengambil sikap tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkembangan terkini kerajaan Selangor ekoran pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim oleh PKR semalam.


Masing-masing menyatakan akan menunggu tarikh 17 Ogos ini yang mana  PAS Pusat akan bermesyuarat bagi melihat apakah jalan penyelesaian seterusnya merungkaikan isu Menteri Besar Selangor itu.

"Saya rasa sebulan ini 'mood' raya dan kita kena raya. Hari ini hari raya dan wartawan jaga mood hari raya, jangan bercakap selain dari hari raya. Lepas Syawal kita bercakap insya Allah," kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar sebaik sahaja diserbu wartawan di rumah terbuka PAS hari ini.


Begitu juga dengan pandangan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sebaik diajukan soalan oleh media berkenaan Tan Sri Khalid, beliau turut memaklumkan agar sama-sama tunggu pada tarikh itu nanti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang turut menghadiri jamuan Rumah Terbuka PAS hari ini juga enggan mengulas lanjut berkenaan kemelut di Selangor.

"Keputusan dah buat kita ikut proses yang ada. Saya dijemput oleh PAS untuk hadir jamuan hari ini, jadi saya hadir pada hari ini untuk jamuan. Ok ya terima kasih semua," kata Azmin yang ingin terus berlalu dari kepungan media.

Media yang sudah menjangkakan bahawa pimpinan Pakatan Rakyat enggan mengulas lanjut berhubung kemelut di Selangor, namun pelbagai persoalan yang ditanya termasuklah apa yang mereka makan dalam jamuan itu.

"Ya, selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin, Tidak ada apa yang kembang semuanya kecut," seloroh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebaik ditanya wartawan tentang perkembangan Menteri Besar Selangor

"Kita akan bincang," katanya ketika ditanya sama ada Tan Sri Khalid boleh menyertai PAS atau tidak selepas ini.

Namun Mohamad Sabu berkata, PAS terbuka untuk sesiapa sahaja menyertai PAS termasuklah Tun Dr Mahathir sendiri.

Rumah terbuka PAS yang berlangsung hari ini menjadi tumpuan media dan mereka berkumpul di hadapan pintu masuk KUIZM untuk mendapatkan respons pimpinan Pakatan Rakyat ekoran pemecatan Khalid semalam. - HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: