11 August 2014

Khalid: Saya amat berpuas hati hasil mesyuarat

15 Syawal 1435. [MOD] -


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau amat berpuas hati dengan hasil mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor yang membincangkan kedudukannya sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenainya ketika ditemui petugas media ketika beredar dari perkarangan Istana Alam Shah kira-kira jam 12 45 tengah hari ini.

"Saya amat berpuas hati dengan hasil mesyuarat tadi," katanya kepada pemberita yang menunggu di pintu masuk istana itu.

Sebaliknya, beliau yang juga ADUN Pelabuhan Klang akan membentangkan keputusan mesyuarat itu dalam sidang media jam 2 petang ini.

Sebelum itu, ekoran disingkirkan daripada PKR, Khalid hari ini menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan kedudukannya itu.

Khalid tiba di Istana Alam Shah pada jam 8.45 pagi sementara Sultan tiba di istana itu 15 minit kemudian.

Sultan dijadual mengadakan mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor pada jam 10 pagi untuk membincangkan mengenai jawatan menteri besar yang disandang Khalid.

Lebih 50 wartawan dari pelbagai media dalam dan luar negara memenuhi kawasan jalan hadapan istana.

Setengah daripada mereka menuju ke Klang setelah menanti di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam sejak jam 8 pagi lagi.

Ekoran isu yang dibincangkan, maklumat yang diperolehiMalaysiakini menyatakan Khalid tidak menghadiri mesyuarat itu walaupun menjadi ahli atas kapasitinya sebagai menteri besar.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada menteri besar, Arfa'eza Aziz memberitahu media bahawa satu sidang media akan diadakan pada jam 2 petang ini di pejabatnya.

Beliau berkata Khalid bersantap bersama Sultan dan ahli Dewan Diraja Selangor yang lain sebelum terus bergerak ke pejabatnya bagi mengadakan sidang media.

Khalid bakal memaklumkan hasil mesyuarat hampir dua jam yang bermula sejak jam 10 pagi tadi, dalam sidang akhbar itu.
Malaysiakini/-

No comments: