Oleh: Dr Azman Ibrahim
1 Jun 2017, genaplah sebulan hamba Allah ini memikul amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Sememangnya sejak hari pertama lagi, tiada tempoh bulan madu bagi seseorang yang memikul tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah gerakan Islam. Tempoh khidmat sebulan pertama adalah neraca awal untuk menilai setiap kelebihan dan kekurangan bagi merancang perjalanan seterusnya.
Bahtera besar ini adalah milik bersama semua pencinta perjuangan Islam. Untuk tempoh masa yang ada sekarang, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden adalah Nakhoda dan kami diamanahkan sebagai satu kumpulan kelasi yang berperanan di setiap sudut bahtera bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pelayarannya. Ada yang jaga enjin, ada yang jaga alat navigasi, ada yang jaga dapur penyedian makanan, ada yang jaga soal kebajikan penumpang, ada yang jaga bilik kawalan, ada tukang baca peta lalu merancang hala tuju pelayaran, ada yang jaga keselamatan dan ketenteraman serta pelbagai lagi tugasan.
Pelayaran yang jauh meredah lautan luas terbentang serta kadang kala dipukul badai dan gelombang sememangnya bukan suatu tugasan mudah. Ianya normal kerana kita berada di sini bukan untuk mencari yang mudah sahaja. Di sini juga bukan tempat untuk mereka yang nak mencari kemudahan bagi diri sendiri. Tapi kita sangat yakin bahawa jalan perjuangan ini akan dipermudahkan Allah untuk kita laluinya.
Teman-teman seperjuangan di sekeliling menjadi faktor penyokong yang kuat. Mereka adalah sahabat yang memahami dan mengerti. Menghulurkan tangan ketika kita hampir jatuh, mengeluarkan isi poket ketika poket kita sendiri hampir kekeringan, dengan gagah memegang stereng memandu ke serata tanahair ketika kita yang berada di sebelah diberikan ruang untuk melelapkan mata seketika, teman berbual dan berbincang ketika suka dan duka. Sungguh indah persaudaraan yang diasaskan kerana Allah. Semua ini saya temui di sini, dalam sebuah jemaah Islam bernama PAS.
Di peringkat mana pun kita ditugaskan, saya ingat selalu pesan orang lama dalam parti bahawa akar umbi gerakan kita ialah di peringkat bawah samada Cawangan, DUN dan Kawasan. Jangan tinggalkan akar sebab pohon yang berdiri tanpa akar akan mudah tumbang. Ahli, penyokong dan aktivis parti yang sejati berada di sini. Tanpa mereka maka tempanglah perjalanan ini. Lihatlah beberapa orang pimpinan parti di peringkat pusat yang akhirnya hanyut tak bertepi, saya perhatikan antara karakter mereka ialah terus naik ke atas tanpa melalui tangga hieraki parti dari bawah. Terus berada di atas tanpa berkesempatan bergelumang dengan lumpur di lapangan akan menjadikan kita pimpinan yang tak begitu tahu menghargai ahli dan penyokong bawahan. Nak buat apa-apa kepada parti, kita tak terbayang dan fikir akan lelehan keringat, jerit perih, air mata dan pengorbanan ahli bawahan untuk meletakkan perjuangan kita di persada seperti sekarang. Sejak dulu saya tak begitu dimotivasikan oleh ucapan bergegar pimpinan di atas pentas, tapi keringat di medan juang yang membasahi wajah sayu seorang tua buta huruf berjawatan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan lebih menyentuh hati dan memotivasikan diri ini.
Tempoh sebulan pertama adalah fasa penyusunan lajnah-lajnah dan gerak kerja parti peringkat pusat. Saya diamanahkan dengan dua tugasan di Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat dan Lembaga Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS Pusat (KHIDMAT MALAYSIA). Agak kerap juga perlu berulang alik ke Ibu Kota. Dua kali seminggu ke Kuala Lumpur kerana urusan parti adalah lumrah. Orang kampung ada bersungut, mungkin terasa sikit keterbatasan masa bersama tidak seperti dulu. Tapi Azman sekarang sama saja dengan yang dulu. Melepasi fasa penyusunan ini, gerak kerja akan balik seperti biasa dengan izin Allah.
Kudrat kita manusia terbatas berbanding dengan beban amanah yang dipikul. Lantaran itu kita perlu rapat dengan Allah. Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man selalu pesan; “Pimpinan mesti jaga hubungan dengan Allah. Jaga solat tahajud, al Quran mesti baca dan mesti amalkan wirid dan zikir tertentu sebagai amalan harian.” Bila kita rapat dengan Allah maka Allah akan bantu kita dengan kudratnya yang tidak terbatas. Almarhum Ustaz Hassan Shukri kata, “Islam yang kita perjuangkan ini adalah agama yang ada Tuan. Tuan bagi Islam ialah Allah. Macam mana kita nak perjuangkan sesuatu yang kita tak rapat dengan Tuannya?”
Kawan-kawan menegur, “Nampak klinik semakin kerap tutup sekarang.” Saya hanya jawab dengan senyum. Senyum tak perlu kata apa-apa sebab mereka yang tegur sebenarnya sudah sangat faham akan situasi sebenar. Tapi biasalah kawan-kawan. Teguran dan sapaan kemesraan. Sikit sangat pengorbanan sekadar saya cagarkan operasi klinik untuk perjuangan. Orang lain berjuang sehingga meletakkan darah dan nyawa sebagai cagaran. Mereka adalah hamba yang berniaga dengan Allah. Suatu perniagaan yang pasti tak akan rugi. Buat kerja kerana Allah, kita tak runsing soal rezeki. Keluarga yang selalu ditinggalkan, kita yakin ada Allah yang menjaganya. Kita tidak berseorangan di medan ini.
***Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan