Pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah, supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin perlu dimanfaatkan semua ahli Parlimen dalam usaha melawan pandemik COVID-19.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, berkata semua ahli Parlimen tidak seharusnya menjadikan persidangan itu sebagai medan politik, sebaliknya menumpukan usaha melandaikan lengkuk jangkitan dan memulihkan ekonomi.
"Pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja jelas menunjukkan tahap kematangan yang tinggi dan tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana titah baginda itu berasaskan rundingan.
"Biarpun berdepan pelbagai desakan dan permintaan pelbagai pihak sejak awal darurat dilaksanakan, Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan bijaksana dan menzahirkan pandangan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ditanya sama ada Parlimen bakal menjadi medan untuk menjatuhkan kerajaan oleh pihak tertentu, Wan Ahmad Fauzi berkata, semua ahli Parlimen seharusnya mempunyai tanggungjawab meletakkan kepentingan rakyat dan negara terlebih dahulu.
Seorang lagi pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata penegasan Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin perlu diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet.
Jelasnya, pandangan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu yang menyertai perbincangan berkenaan.
"Pandangan yang dizahirkan ini menunjukkan institusi Istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya 'semak dan imbang' sebagai mekanisme penting untuk mengelak salah laku, ketirisan dan ketidakcekapan," katanya.
Pensyarah kanan pengajian politik di Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali, berkata pandangan Yang di-Pertuan Agong itu jelas menunjukkan keprihatinan baginda supaya kerajaan dapat membuat dasar lebih berkesan melawan COVID-19.
"Ordinan Darurat dibuat hanya dalam tempoh seminggu, jadi mungkin tidak begitu teliti tetapi apabila dibawa ke Parlimen, segala rang undang-undang itu akan dibahas supaya dasar yang dibuat benar-benar berkesan.
"Apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya Parlimen segera bersidang, tuanku nyata prihatin mahu kita fokus untuk melawan COVID-19," katanya. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan