24 Jun 2021

Jepun tayang filem kisah Tanah Melayu


Antara babak membabitkan dua pemain utama, Hiroshi Abe dan Angelica Lee Sinje. - Foto Astro

KUALA LUMPUR: Selepas merangkul beberapa trofi antarabangsa seperti Filem Cereka Terbaik, Anugerah Akademi Kreatif Asia (AACA) selain mengungguli kategori Rekaan Kostum dan Solekan Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-56, filem The Garden of Evening Mists (TGOEM) bakal mengisi slot tayangan panggung wayang di Tokyo, Jepun, mulai 24 Julai depan.

TGOEM terbitan HBO Asia dan Astro Shaw dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), bakal ditayangkan di pawagam Shibuya Euro Space di Shibuya, iaitu lokasi pelancongan dan komersial ikonik di bandaraya Tokyo.

Bagi peminat filem 'indie', Shibuya Euro Space yang diasaskan sejak 1982, menjadi rujukan berikutan banyak menayangkan naskhah sutradara terbaik dari Eropah dan Asia.

TGOEM mempunyai tarikan tersendiri berikutan mengangkat kisah yang berlatarkan Malaysia dengan gabungan pelakon dan kru profesional dari Malaysia dan luar negara seperti Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia, United Kingdom.

Pengarah TGOEM, Tom Lin yang berasal dari Taiwan, cukup teruja apabila dimaklumkan karyanya bakal mengisi slot tayangan di Shibuya Euro Space.

"Biarpun sebelum ini tiga karya arahan saya pernah ditayangkan di Jepun, kali ini, perasaan saya berbeza. Saya gementar untuk melihat bagaimana penerimaan orang ramai terhadap filem ini.

"TGOEM mengangkat subjek berat tetapi sarat dengan cinta, empati, pengorbanan dan usaha menebus kesilapan lalu. Saya berharap filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton," katanya.

Berlatarbelakangkan sejarah Tanah Melayu atau Malaya pada Perang Dunia Kedua, kisah dipaparkan adalah cinta menyayat hati antara watak Teoh Yun Ling yang bertemu Nakamura Aritomo lakonan Hiroshi Abe.

Aritomo menerima sahutan Yun Ling untuk membina taman bunga inspirasi Jepun bagi merealisasikan impian adik perempuannya yang meninggal dunia.

Pengarah filem The Garden of Evening Mists, Tom Lin. - Foto Astro
Pengarah filem The Garden of Evening Mists, Tom Lin. - Foto Astro

Aritomo dan Yun Ling masing-masing jatuh hati biarpun berbeza budaya. Namun, 30 tahun kemudian, Yun Ling yang menjadi hakim di Malaysia, mendapat tahu Aritomo yang pernah dicintainya, adalah perisik khazanah.

Lantas, Yun Ling membuat keputusan mencari bukti dan menjejaki Aritomo sambil mengimbau memori zaman silam.

Pelakon Angelica Lee Sinje membawa watak Yun Ling ketika muda manakala Sylvia Chang memegang karakter sama bagi usia tua.

TGOEM menjalani sesi penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia seperti Cameron Highlands, Sungai Lembing dan Klang.

Sementara itu, Abe memberitahu, sebaik membaca skrip filem berkenaan buat kali pertama, dia sentiasa berhubung dengan Lin hampir setahun sebelum bersetuju berlakon dalam filem berkenaan.

"Saya banyak membuat rujukan mengenai latar belakang sejarah melalui buku dan dokumentari. Watak Aritomo adalah pekebun bagi taman Jepun dan pengukir.

"Bagi menyampaikan budaya Jepun melalui watak ini, saya mendapat bimbingan pakar dalam bidang landskap, seni ukir dan mereka yang mahir dengan teknik dalam budaya minum teh," katanya.

Abe berkata, karakter Aritomo dilihat penuh misteri namun memiliki estetika seperti 'Bushido' dan empati.

"Karakter itu amat dekat dengan diri saya. Jadi mudah untuk saya bawa karakter itu. Lin beritahu ini bukanlah filem perang yang secara terang-terang menonjolkan siapa jahat dan baik.

"Tetapi TGOEM adalah sebuah filem cinta yang mempamerkan insan yang melalui keperitan dan akhirnya, memaafkan antara satu sama lain menerusi cinta," katanya yang mengajak peminat menonton filem berkenaan.

Berlatarbelakangkan sejarah Tanah Melayu atau Malaya pada Perang Dunia Kedua, filem The Garden of Evening Mists memaparkan kisah cinta yang menyayat hati. - Foto Astro
Berlatarbelakangkan sejarah Tanah Melayu atau Malaya pada Perang Dunia Kedua, filem The Garden of Evening Mists memaparkan kisah cinta yang menyayat hati. - Foto Astro

Sementara itu, Penerbit Eksekutif TGOEM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan teruja filem berkenaan ditayangkan di Jepun.

"Filem ini mengangkat kisah yang berlatarbelakangkan Malaysia dan dijayakan melalui gabungan hebat pelakon dan kru profesional dan luar negara.

"Kami harap filem ini yang membawa elemen cinta dan kemaafan berlatarkan pelbagai era ini, mampu menambat hati penonton di Jepun.

"Filem Asia semakin mendapat perhatian antarabangsa. Jadi, Astro akan terus komited dalam mempersembahkan lebih banyak filem yang mengangkat rantau ini dan penceritaan bakat kreatif Asia," katanya.

Diadaptasi daripada novel judul sama hasil karya Tan Twan Eng pernah menerima menerima Anugerah Man Asian Literary Prize 2013 dan Walter Scott Prize bagi kategori fiksyen sejarah pada tahun sama.

Selain Abe, TGOEM menampilkan pelakon dari Malaysia, Lee Sinje yang pernah membintangi filem The Eye; Sylvia Chang (Love Education); David Oakes (Cold Skin); Julian Sands (The Girl with the Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).

Ditayangkan di pawagam di Malaysia Januari 2020 dan mendapat reaksi positif penonton. BH/-

Tiada ulasan: