JAKARTA: Hampir 14 jam diperlukan untuk mengumpulkan mayat mangsa Covid-19 di Jakarta minggu ini, kata polis, ketika ibu kota Indonesia itu berdepan lonjakan kes dan kematian akibat koronavirus.
Polis di wilayah pelabuhan Tanjung Priok berkata mereka menerima panggilan pada Isnin lalu mengenai mayat mangsa Covid-19, yang dibungkus kain kafan putih, dan ditinggalkan di depan pintu rumah di Jakarta Utara.
Oleh kerana tidak dibenarkan untuk menguruskan mangsa Covid-19, petugas memanggil pasukan petugas setempat, namun malangnya diberitahu mereka terpaksa menunggu.
“Mayat itu adalah yang kelapan dalam senarai menunggu kerana pasukan petugas Jakarta Covid-19 perlu menguruskan mangsa lain,” kata Ketua Polis Tanjung Priok, Ghulam Pasaribu.
Katanya, mayat itu hanya dapat dikumpulkan lebih 13 jam kemudian, pada jam 1.30 pagi semalam.
Itu adalah satu daripada 143 pengebumian di Jakarta yang mencatat rekod paling tinggi pada hari itu sejak wabak bermula, menurut pengurus tanah perkuburan dan pengebumian di jabatan taman Jakarta, Ivan Nurcahyo.
Pada hari yang sama di kawasan berbeza, seorang nenek berusia 69 tahun yang didapati positif menaiki pengangkutan awam untuk ke hospital, setelah keluarganya gagal mendapatkan ambulans, kata stesen televisyen MetroTV.
Kisah-kisah itu memberi gambaran betapa rapuhnya sistem kesihatan di Indonesia berikutan jumlah kes dan kematian yang meningkat.
Indonesia mencatat 14,536 kes koronavirus baharu pada Isnin, peningkatan harian tertinggi sejak wabak itu bermula.
Negara ini telah mengenal pasti 2,018,113 kes dan 55,291 kematian, yang tertinggi di rantau ini, walaupun angka sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi.
Pakar kesihatan awam mengaitkan lonjakan itu dengan pergerakan massa pada hari raya Aidilfitri lalu, dan penyebaran varian Delta yang sangat menular.
Lebih dari 100 kes varian Delta telah dikenal pasti di seluruh Nusantara, di mana wabak di Jawa mengakibatkan penggunaan katil hospital kini melebihi 90% di beberapa daerah.
Walaupun telah divaksinasi sepenuhnya, sekurang-kurangnya 10 doktor telah meninggal akibat penyakit ini, menurut Persatuan Perubatan Indonesia, sementara ratusan telah diuji positif.
Kes turut meningkat di Jakarta. Pada 22 Mei lalu, Jakarta melaporkan 932 kes baharu, namun ia menjadi tiga kali ganda kepada 3,221 pada 22 Jun, menurut data rasmi.
Jumlah katil ICU di 140 hospital rujukan Covid-19 di Jakarta kini 81% penuh pada 20 Jun, sementara bilik pengasingan kini mencecah 90% kapasiti, kata Dr Sulung Mulia Putra, dari badan kesihatan Jakarta.
“Kita masih perlu berdepan ujian sulit kerana sejak beberapa hari lalu pandemik Covid-19 telah muncul kembali,” kata Presiden Joko Widodo pada hari Rabu.
Reuters/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan