LONDON: Bintang UFC, Khabib Nurmagomedov berkemungkinan akan menyarung kasut bola sepak selepas menerima 'banyak tawaran'.
Khabib sebelum ini secara terbuka menyatakan minatnya terhadap perlawanan menarik bola sepak yang pernah disaksikannya sebelum ini.
Atlet berasal dari Russia yang sudah bersara dan dikenali dengan julukan The Eagle itu memperkemaskan skil dimilikinya selepas mendedahkan persaraannya di Octagon, Oktober lalu.
Dengan pasaran pertukaran pemain dibuka, dia akan menawarkan dirinya dan mengumumkan sudah bersedia menurunkan tanda tangan bersama sebuah kelab sekiranya ada tawaran profesional diterima.
Ketika ini, apa yang pasti impian masa kecilnya itu akan menjadi kenyataan.
Bercakap di dalam laman Instagram, dia berkata: "Banyak kelab bola sepak, mereka membuat tawaran kepada saya.
"Saya sukakan bola sepak dan sudah mengikutinya sejak dari kecil lagi. Ia minat pertama saya".
Menurut MMA, kelab yang beraksi di liga ketiga Russia, Dynamo Legion dan FC Kamza dipercayai berminat untuk menandatangani Khabib.
Baru-baru ini juga, Khabib mendedahkan dirinya berpeluang bercakap dengan Cristiano Ronaldo dan pemilik Paris Saint-Germain (PSTG), Nasser Al-Khelaifi.
Jaguh UFC itu berkata: "Untuk bermain bola sepak di peringkat profesional adalah impian saya pada waktu kecil dan tentunya saya mempunyai keinginan itu.
"Lagipun, bola sepak adalah raja sukan. Siapa lagi yang belum pernah saya bincangkan mengenainya!. Saya pernah bercakap dengan presiden UEFA, Aleksander Ceferin, pemilik PSG malah juga dengan Ronaldo.
"Kelab impian saya adalah Real Madrid, malah saya masih mengingati perlawanan pertama yang ditonton sepanjang 90 minit (perlawanan) antara Real dan Juventus pada 1998 (final Liga Juara-Juara).
"Saya masih ingat, Mijatovic menjaringkan gol daripada kedudukan ofside, tetapi kami masih menang."
Khabib baru-baru ini turut berkongsi hantaran video dirinya menjaringkan gol ketika satu perlawanan bersama rakan-rakannya.
Atlet berusia 32 tahun itu bersara daripada MMA pada Oktober tahun lalu selepas meraih kemenangan ke atas Justin Gaethje di UFC 254. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan