KUALA LUMPUR: Kualiti minyak masak kelapa sawit bersubsidi dalam bungkusan plastik satu kilogram (kg) di pasaran tempatan menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beliau berkata, harga runcitnya tidak boleh dinaikkan melebihi harga kawalan RM2.50 yang ditetapkan.
Malah katanya, subsidi yang diberikan kepada minyak masak plastik 1kg masih pada RM2.50 sebungkus walaupun harga pasaran minyak sawit mentah (MSM) sudah meningkat.
Ini kerana katanya bekalan minyak masak bersubsidi bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi mendapatkan minyak masak dengan harga yang berpatutan khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.
"Tanggapan minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti rendah adalah salah.
"Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1.0 kg disubsidi dan dikawal oleh kerajaan.
" Oleh itu, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran," " katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Parveez berkata, minyak masak kelapa sawit di pasaran tempatan dijual dalam pelbagai saiz dari paket plastik 1kg sehingga minyak masak dalam botol bersaiz antara 1kg hingga 5kg.
Katanya, saiz bungkusan 17 kg dalam tin pula digunakan oleh industri kecil dan sederhana (PKS).
Kebanyakan minyak masak bungkusan plastik 1.0 kg katanya dikeluarkan oleh syarikat pembungkusan kerana kos operasi yang rendah.
"Minyak masak plastik 1kg biasanya dijual dalam bentuk karton dengan berat 17 kg (mengandungi 17 paket 1kg minyak masak).
"Ketika ini terdapat 49 kilang penapis serta 312 syarikat pembungkusan minyak masak beroperasi bagi bekalan minyak masak untuk kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak satu juta tan setahun," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Parveez, berkata MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran.
Beliau berkata, pihaknya mendapati bahawa kualiti dan ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
Ini katanya meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol).
Beliau berkata, pengeluaran MSM diproses kepada minyak masak olein untuk kegunaan pasaran tempatan dan eksport.
Pada 2020, Malaysia mengeluarkan 19.14 juta tan minyak sawit mentah dan penggunaan minyak masak olein untuk pasaran tempatan hanya merangkumi 4.1 peratus daripadaj umlah pengeluaran minyak sawit mentah negara. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan