16 Jun 2021

Warna Merah Bagi Bangsa Cina.

Oleh Puteri Sabira

Mengapakah masyarakat China suka akan warna merah? Tidak dinafikan warna merah amat sinonim dengan masyarakat China dalam kehidupan mereka. Warna juga mencerminkan keunikan serta kepercayaan sesuatu kaum atau negara.

Ini amat penting untuk mengetahui serba sedikit mengenai warna dan pantang larang sesuatu kaum itu supaya kita lebih peka dengan tradisi mereka.

Kemungkinan dalam sesetengah budaya warna merah melambangkan kemarahan, warna putih mewakili kesucian serta warna hitam pula merujuk warna yang tidak baik atau negatif.

Merah melambangkan api dan merupakan warna yang paling popular di China. Ia juga warna kebangsaan yang mewakili kebahagiaan, keindahan, gaya hidup, nasib baik, kejayaan serta bertuah.

Warna merah dalam kalangan masyarakat China bererti tanda baik dan gembira. Oleh kerana itu, sekiranya hendak memberi hadiah, seelok- eloknya bungkus hadiah tersebut dengan kertas berwarna merah. Warna ini sering menjadi pilihan rakyat China bagi menggambarkan nasib yang baik serta juga mengelakkan perkara buruk tidak diingini berlaku.

Lebih menarik lagi, mengikut kepercayaan masyarakat China, lilin yang diukir menyerupai naga dan burung phoenix yang berwarna merah adalah untuk mewakili penyatuan terhadap keluarga baharu. Lilin ini sering digunakan pada hari perkahwinan untuk menangkis roh- roh jahat. Warna terang ini digunakan untuk menghalau roh atau semangat yang tidak baik daripada mendekati mereka dan keluarga mereka.

Anda akan dapat lihat tanglung yang digantung di luar kediaman terutamanya perayaan Tahun Baharu China. Ini juga bermaksud bahawa perayaan itu akan disambut dengan meriah.

Hiasan serta bunga-bunga merah juga mewujudkan semangat keceriaan yang padu dan harmoni. Apabila menjelang hari Tahun Baharu China, hiasan berwarna merah digantung sepanjang jalan, ia bukan sahaja disambut oleh masyarakat tersebut, malah disambut seluruh masyarakat seperti di Malaysia.

Oleh itu, warna merah adalah warna bertuah China, yang boleh membawa kestabilan dan kebahagiaan kepada orang.

Warna tersebut akan terus menjadi kemegahan negara China, ia bukan sahaja digunakan sebagai warna kegemaran, malah ia juga menjadi simbol keteguhan. Ini dapat dilihat pada logo-logo, bendera, lencana dan setem.

Berbeza dengan warna putih yang sering dikaitkan dengan kesucian di sesetengah negara, warna putih bagi masyarakat China, khususnya pada zaman dahulu, melambangkan kematian atau berkabung. Mengikut tradisi mereka, warna ini juga sering dikaitkan dengan kegagalan serta kesedihan. Jika berlaku kematian, sanak saudara dan ahli keluarga akan memakai pakaian warna putih ke pengebumian.

CRI/

Tiada ulasan: