JEDDAH: Sebanyak 450,000 permohonan haji diterima dalam tempoh 24 jam menerusi sebuah portal haji domestik, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Kementerian itu berkata, permohonan untuk lelaki adalah berjumlah 60 peratus manakala selebihnya adalah wanita, lapor Arab News.
Tahun ini, pendaftaran untuk mengerjakan haji dihadkan kepada 60,000 orang dan hanya membenarkan kepada rakyat negara itu dan pemastautin bagi mengekang pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdulfattah Mashat, hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk ke kota suci itu pada musim ini.
Mashat dalam temubual bersama Al-Ekhbariya TV berkata, ini kerana kanak-kanak bukan dalam kumpulan yang menerima vaksin sekali gus tidak dibenarkan memasuki kota suci itu.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada mereka berusia 50 tahun ke atas yang tidak pernah menunaikan haji.
Antara individu yang sudah mendaftar ialah Pegawai Kanan Budaya di Bupa Arabia, Mohammed Gamlo, 25, sambil berkata, bilangan jemaah haji yang sedikit akan menyenangkan perjalanan ibadah berkenaan dan tidak mungkin berlaku lagi pada masa akan datang.
"Namun, saya tidak tahu sama ada terpilih atau tidak menunaikan haji bagi tahun ini. Apabila kementerian membuat pengumuman, saya berpendapat, saya perlu menjadi orang pertama yang mengerjakan haji.
"Setiap kali saya cuba untuk mengerjakan haji, ia tidak pernah terjadi," katanya yang memberitahu ia adalah kali pertama untuknya menunaikan haji.
Persiapan Kementerian Haji dan Umrah bagi pelaksanaan ibadah itu dijangka berlanjutan sehingga akhir minggu ini, bagi memastikan semua perkara mematuhi syarat dan standard kesihatan untuk menjaga kebajikan jemaah haji.
Pendaftaran haji itu perlu disempurnakan sebelum 23 Jun ini dan untuk menghalang pembatalan, satu pakej mesti dibeli dalam tempoh tiga jam pemilihan dilaksanakan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan