02 Julai 2021

Affin peruntuk RM20 juta skim BizDana-i Start-Up

 


Affin Bank Bhd
Affin Bank Bhd

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd memperkenalkan tranche kedua skim pembiayaan BizDana-i Start-Up dengan peruntukan baharu sebanyak RM20 juta, meningkat daripada RM15 juta yang diperuntuk pada Oktober tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata skim pembiayaan itu menyediakan modal kerja yang bertujuan membantu usahawan baharu dengan pelan perniagaan yang praktikal dan menyakinkan untuk mengembang dan menyokong pertumbuhan perniagaan mereka.

"Pendaftaran dibuka bermula 14 Jun 2021 dengan pembiayaan sehingga RM300,000 dan tempoh pembayaran sehingga 84 bulan untuk syarikat pemula niaga yang layak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihak bank bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) membabitkan pelbagai skim pembiayaan yang bertujuan untuk mengembang dan memelihara komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

"Golongan PKS, termasuk syarikat pemula niaga, memainkan peranan penting sebagai pemacu utama ekonomi.

"Skim pembiayaan BizDana-i Start-Up boleh membantu meringankan beban aliran tunai yang dihadapi oleh golongan syarikat pemula niaga yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 serta mengembangkan perniagaan mereka," jelasnya.

Beliau berkata, pertumbuhan PKS sangat penting untuk disokong dan dipelihara dengan sepenuhnya oleh institusi perbankan yang boleh dipercayai supaya mereka dapat memajukan perniagaan ke depan, lebih-lebih lagi dalam masa yang mencabar ini.

-BERNAMA

Tiada ulasan: