02 Julai 2021

Lelaki Kanada dapat rezeki tidak disangka


Lukisan David Bowie ini pernah dilaporkan hilang hingga menjadi perhatian media sebelum ini. (Gambar AFP)

Seorang lelaki kaya sekelip mata apabila sebuah lukisan milik penyanyi legenda, David Bowie yang dibeli pada harga AS$4 (RM17) berjaya dilelong dengan harga AS$88,000 (RM365,758).

Lukisan kanvas potret abstrak itu sebenarnya adalah sebahagian daripada 47 siri lukisan dihasilkan Bowie antara 1995 hingga 1997 yang bertajuk Dead Heads.

Lelaki bertuah yang tidak didedahkan identiti itu dikatakan membelinya dari sebuah pusat barangan derma di Ontario, Kanada sebelum ia selamat dibida oleh pembeli dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Menurut jurucakap syarikat lelongan Cowley Abbot, lelaki terbabit terkejut melihat label bertulis ‘David Bowie’ sebelum menyedari ia adalah tandatangan artis itu yang ditulis secara terbalik.

Syarikat itu menjelaskan, lelaki terbabit kemudian menunjukkan lukisan itu kepada syarikat berkenaan pada November lalu sebelum ia disahkan asli oleh pakar.

Menurut mereka, acara lelongan yang dilakukan atas talian itu menarik perhatian ramai selepas kisah kehilangan lukisan itu pernah menjadi tajuk utama media di seluruh dunia.

“Galeri kami dibanjiri dengan panggilan orang ramai yang berminat untuk mendapatkan lukisan Bowie sepanjang tempoh Lelongan Atas Talian Karya Seni Antarabangsa.

“Ia adalah satu fenomena yang kami gelar sebagai Kesan Hollywood. Ia berlaku sekiranya terdapat nama terkenal atau kisah menarik di sebalik sesuatu karya itu,” kata Presiden Cowley Abbott, Rob Cowley.

Bowie adalah seorang artis dan pengumpul seni yang mula melukis sejak 1976 selain pernah melanjutkan pengajian dalam bidang seni dan rekaan ketika zaman muda.

Pemenang Anugerah Grammy yang dilaporkan meninggal dunia akibat kanser hati pada 2016, mencipta nama menerusi beberapa rekod ikonik termasuk album Let’s Dance pada 1983 dan The Rise and Fall of Ziggy Stardust and the Spiders from Mars pada 1972.

fmt/AFP/-

Tiada ulasan: