04 Ogos 2021

Arab Saudi benar pelancong tinggal hingga 90 hari

 Foto hiasan

Foto hiasan

Kuala Lumpur: Arab Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos lalu, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara terbabit.

Menurut laporan Saudi Gazette, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan kerajaan itu.

"Ini sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu," menurut laporan itu.

Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik Covid-19 bermula awal tahun lalu, Arab Saudi membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian.

Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

Selain Malaysia, warga dari negara berikut layak mendapatkan visa pelancongan: Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino , Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), serta Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan bermula 1 Ogos, negara itu membuka kembali pintu negara kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong.

Menurut kementerian itu, pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dengan dos vaksinasi di https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti memberikan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Arab Saudi: dua dos vaksin Oxford/AstraZeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson & Johnson.

Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Arab Saudi.

Bernama/-

3 ulasan:

Unknown berkata...

Terbaik..Alhamdulillah

Unknown berkata...

Alhamdulillah

Unknown berkata...

Test