09 Ogos 2021

COVID-19: Lebih 24.5 juta vaksin diberikan setakat semalam

 Sukarelawan membantu orang ramai yang hadir menerima suntikan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC). - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Sukarelawan membantu orang ramai yang hadir menerima suntikan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC). - Foto NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kadar pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara mencatatkan penurunan kepada 389,641 dos, semalam.

Ia adalah kali pertama PICK kembali merekodkan kadar pemberian vaksin harian di bawah 400,000 dos dalam tempoh 14 hari selepas merekodkan kapasiti harian antara 400,000 hingga 500,000 dos sejak 26 Julai lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 di negara ini kepada 24,542,437 dos sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu hingga semalam.

Katanya, jumlah keseluruhan itu turut merangkumi data pelaporan manual antaranya menerusi program outreach vaksinasi di luar bandar.

"Sejumlah 389,641 dos diberikan semalam. Jumlah individu yang menerima dos pertama sebanyak 15,772,101 orang.

"Daripada jumlah itu, 8,770,336 orang sudah menerima dos kedua vaksin COVID-19," katanya menerusi Twitter hari ini.

Kapasiti pemberian vaksin PICK mula mencatat peningkatan sepanjang bulan lalu dan melonjak pada kadar tertinggi 556,404 dos diberikan dalam tempoh sehari pada 29 Julai lalu.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham, menunjukkan sejumlah 37.5 peratus atau 8.77 juta penduduk dewasa di negara ini sudah menerima dos lengkap vaksin setakat semalam.

Selain itu, data berkenaan merekodkan 67.4 peratus atau 15.77 juta populasi dewasa di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Mengikut data setiap negeri dan wilayah, jumlah penduduk dewasa yang menerima dos lengkap vaksin kekal didahului Labuan dengan 85.3 peratus atau 58,421 individu, disusuli Sarawak (74.4 peratus/1.52 juta).

Selain itu, dua negeri mencatatkan lebih 50 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos lengkap vaksin, iaitu Negeri Sembilan (52 peratus/423,848) dan Kuala Lumpur serta Selangor (51.5 peratus/3.17 juta).

Perlis mencatatkan 48.4 peratus atau 87,714 penduduk, manakala Sabah pula menjadi negeri paling rendah merekodkan penerima dos lengkap vaksin dalam kalangan populasi dewasa dan satu-satunya mencatat bawah 20 peratus dengan hanya 17.1 peratus atau 471,145 penduduk.

BH/-

Tiada ulasan: