23 September 2021

81 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

 


KUALA LUMPUR: Pemberian vaksinasi lengkap COVID-19 bagi populasi dewasa di negara ini sudah mencapai kadar 81 peratus setakat semalam, manakala golongan usia itu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian berkenaan mencecah 93.3 peratus.

Berdasarkan data dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) setakat jam 11.59 malam tadi, Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor merekodkan 107.9 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi dan 114.8 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Ia diikuti Labuan dengan 98.1 peratus lengkap divaksinasi dan 104.4 peratus menerima satu dos serta Negeri Sembilan dengan 95 peratus lengkap divaksinasi dan 101.2 peratus sudah menerima satu dos.

Empat negeri yang merekodkan suntikan lengkap vaksin COVID-19 melepasi 80 peratus adalah Sarawak, Perlis, Melaka dan Terengganu.

Sarawak dengan 89.2 peratus lengkap divaksinasi dan 91.4 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, diikuti Perlis (85.8 peratus lengkap vaksinasi, 96.4 peratus satu dos), Melaka (80.6 peratus lengkap vaksinasi, 90.6 peratus satu dos) dan Terengganu (80.3 peratus lengkap vaksinasi, 90.8 peratus satu dos).

Mengikut data JKJAV, kebanyakan negeri mencatatkan pemberian sekurang-kurangnya satu dos vaksin melepasi 80 peratus.

Pulau Pinang merekodkan 94.9 peratus bagi sekurang-kurangnya satu dos dan 76.7 peratus lengkap divaksinasi, Johor (92.5 peratus satu dos, 73.3 peratus lengkap vaksinasi), Kedah (82.4 peratus satu dos, 64.9 peratus lengkap vaksinasi) serta Pahang (83.5 peratus satu dos, 63.9 peratus lengkap divaksinasi).

Perak pula merekodkan 83.3 peratus populasi dewasa sudah menerima satu dos dan 63.6 peratus lengkap divaksinasi, manakala Kelantan dengan 77.4 peratus menerima satu dos dan 62.1 peratus lengkap divaksinasi serta Sabah dengan 69.6 peratus satu dos dan 56.6 peratus lengkap divaksinasi.

BH/-

Tiada ulasan: