23 September 2021

Pas tetap bantah cabutan judi 22 kali

 

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

PETALING JAYA: Dewan Pemuda Pas menegaskan bantahan terhadap pelaksanaan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali setahun pada tahun lepas kepada kepada 22 kali setahun bermula tahun ini.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu sentiasa menjadi pendirian pihaknya sejak dahulu sebagaimana bantahan sama pernah disuarakan sebelum ini dan tidak ada sebarang kompromi dalam isu judi.

Katanya, pihaknya juga berharap kerajaan lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial.

“Pada masasama, kami berbesar hati mengajak pimpinan-pimpinan negara, serta parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional untuk bersama-sama membanteras terus segala aktiviti perjudian di Malaysia. Semoga Malaysia terus maju di tahun 2021 tanpa judi.

“Pemuda Pas menegaskan cabutan khas judi ini bukan jalan penyelesaian terbaik, kerana judi adalah haram di sisi Islam, selain menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat, masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa menjawab soalan ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini.

Menurut Khairil Nizam, Pemuda Pas juga memohon untuk mengadakan satu pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Kementeriannya.

“Kami sedia untuk berbincang bagi mencari jalan terbaik menambah pendapatan negara untuk tujuan mengekang wabak Covid-19, selain membentangkan solusi bagi mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di dalam negara.

“Pemuda Pas mengucapkan terima kasih kepada Mahfuz Omar yang membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat.

“Teguran tersebut adalah tepat dan amat diperlukan, apatah lagi ianya adalah soal nahi mungkar, semua umat Islam bertanggungjawab bagi menyuarakan perkara tersebut tanpa mengira parti politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: