02 Oktober 2021

BERSATU sedia jika perlu lawan UMNO

 Muhyiddin bersama Hajiji pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah hari ini. - foto BERNAMA

Muhyiddin bersama Hajiji pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah hari ini. - foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai sebuah realiti politik yang harus dihadapi.

Presiden BERSATU merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai perkara terbabit dan bersedia sekiranya BERSATU terpaksa berhadapan dengan UMNO dalam PRU-15.

"Antara keputusan yang dibuat dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) 2020 adalah tidak akan bekerjasama dengan BERSATU. Jika ditafsirkan dengan lebih mendalam oleh sesiapa pun, bermakna mereka tidak akan bekerja dengan kita dan mereka akan melawan kita.

"Ini adalah realiti politik. Kadang-kadang kita bersahabat, kadang-kadang kita bermusuh atau apa pun. Kita (BERSATU) sudah ada pendirian. Kalau UMNO tidak ubah keputusan itu bermakna itulah keputusan yang mereka akan ambil.

"Jadi kita sudah bersedia. Di sini pun tadi dengan tegas dan jelas kalau sudah begitu di mana kita terpaksa bertembung (dengan UMNO) dalam PRU-15 atau tidak ada cara lain untuk mengelak, maka kita harus hadapinya," katanya selepas mesyuarat dengan Badan Pimpinan BERSATU Sabah, hari ini.

Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan BERSATU lebih mementingkan berkenaan penerimaan rakyat.

"Apa yang penting bukanlah parti politik tetapi rakyat. Rakyat akan melihat siapa yang mereka percaya dan yakin boleh memberi sokongan atau bantuan yang diperlukan terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini," katanya.

"Bagi saya, selaku Pengerusi PN saya ambil ini sebagai satu cabaran. Apa pun keputusan saya serahkan pada rakyat untuk menilai sebaik mungkin apa yang terbaik untuk mereka.

"Ini adalah demokrasi. Kita amalkan sistem ini dan rakyat yang akan membuat keputusan," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: