Pekan: Dua pekebun nangka madu dan pisang kerugian lebih RM70,000 selepas kebun mereka diceroboh gajah di projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, haiwan berkenaan secara berkumpulan memusnahkan pokok nangka serta pisang dalam masa lebih sejam.
Pekebun, Mohd Derus Abdul Latif, 62, berkata, dia kerugian lebih RM50,000 apabila 25 pokok nangka yang sudah mengeluarkan hasil dimusnahkan haiwan berkenaan.
Menurutnya, haiwan berkenaan bertindak merosakkan pagar elektrik yang disediakan Jabatan Pertanian Pahang untuk menceroboh dua kebun yang diusahakan lebih 10 tahun lalu.
Katanya, kedudukan TKPM Kota Perdana bersebelahan dengan Hutan Simpan Ibam, Rompin yang menjadi habitat gajah memudahkan lagi serangan haiwan berkenaan yang sebelum beberapa kali berlaku hingga menyebabkan kerugian besar pada pekebun.
"Pekerja saya menyedari kumpulan gajah menceroboh kebun kira-kira 1.30 pagi sebelum berusaha menghalaunya dengan cara membuat beberapa unggun api serta menghidupkan mesin gergaji kayu secara berterusan.
"Kejadian malam tadi antara terbesar serangan gajah berlaku sejak lebih 10 tahun saya mengusahakan tanaman nangka madu jenis J33," katanya yang juga pesara Jabatan Pertanian Negeri Pahang.
Dia berkata, rakannya kerugian lebih RM20,000 apabila berpuluh pokok nangka termasuk lebih satu hektar kebun pisang turut musnah dalam masa kira-kira sejam.
Mohd Derus berkata, dia bagi pihak pekebun di TKPM Kota Perdana berharap pihak terbabit dapat memikirkan kaedah terbaik memastikan kejadian gajah menceroboh kebun tidak terus berlaku hingga menyebabkan kerugian besar pada pekebun.
"Jabatan Pertanian Pahang ada membina pagar elektrik bagi menghalang kumpulan gajah daripada terus memusnahkan kebun, sebelum ini parit sempadan turut disediakan.
"Pekebun sebelum ini menggunakan pelbagai cara untuk menghalang gajah daripada menceroboh Projek TKPM Kota Perdana, antaranya membuat rondaan, memasang lampu kelip biru dan guna meriam kabaid," katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian yang berlaku sebelum sebarang tindakan dilakukan.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan